Nafas Baharu Tangani Isu Sosial
MUKADIMAH:
Masalah sosial boleh diibaratkan sebagai bom jangka yang mana sekiranya
langkah pencegahan dan pemulihan tidak dilakukan lebih awal, negara
terpaksa menanggung segala kos akibat keruntuhan serius moral serta
akhlak masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak dalam pembentangan Bajet 2018 baru-baru ini menegaskan bahawa
penekanan akan diberikan kepada usaha memperkukuhkan institusi
kekeluargaan melalui penubuhan Institut Penyelidikan Sosioekonomi
(SERI).
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, HUSSAINI AMRAN dan KAMIL MASLIH serta jurugambar, ZAKI AMIRUDDIN berkongsi pandangan tentang pelaksanaan Agenda Sosial Negara yang diyakini berupaya menangani masalah sosial untuk jangka masa panjang di negara ini.
UTUSAN: Apa pandangan Yang Berhormat tentang penubuhan SERI?
KHAIRY: Penubuhan SERI untuk
melihat isu sosioekonomi terutamanya dengan penglibatan Institut Kajian
Etnik (Kita) di UKM adalah permulaan yang baik. Sebelum kita melihat
kepada penyelesaian agenda sosial, perlu dibuat kajian yang besar
melibatkan pakar-pakar untuk melihat permasalahan yang dihadapi pada
masa ini.
Terdapat banyak statistik menunjukkan gejala
dadah, jenayah juvana, ponteng sekolah, buli, anak luar nikah,
penceraian dan sebagainya. Perlu ada metodologi untuk melihat apakah
punca masalah-masalah sosial ini serta penyelesaiannya. Saya harap SERI
dapat membuat kajian dalam masa terdekat dan melakukan audit terhadap
program sedia ada.
Kita kena berani untuk mengakui bahawa ada
program yang kita lakukan tidak berjaya. Sebab itu kita masih dibelenggu
dengan masalah sosial yang begitu banyak.
Kita perlu kepada pendekatan dan pemikiran yang
segar dan jangan berpegang pada program-program yang mungkin sudah
lapuk keberkesanannya. Saya rasa tidak ada sacred cow atau ‘lembu suci’
dari segi program dan pendekatan yang tidak boleh dihentikan atau
ditamatkan untuk mengambil pendekatan yang baharu.
Siapakah yang sewajarnya menerajui pelaksanaan Agenda Sosial Negara?
Saya masih lagi bercadang supaya Timbalan Perdana
Menteri menjadi pengerusi kepada jawatankuasa pemandu Agenda Sosial
Negara. SERI boleh berperanan sebagai sekretariatnya manakala
menteri-menteri yang berkaitan boleh menjadi ahli-ahli jawatankuasa.
Inisiatif yang boleh diambil bagi memberi nafas baharu terhadap usaha menangani masalah sosial?
Kita perlu merangka banyak program yang mempunyai
intervensi berterusan. Banyak program sekarang ini saya lihat tidak
bertahan lama dan hanya melihat permasalahan itu pada paras kulit
sahaja. Kita kena buat keputusan untuk melihat bagaimana kerajaan boleh
menambah sumber dari segi kaunselor, pakar-pakar dalam bidang psikologi
belia.
Saya gembira juga ada beberapa perkara yang
diumumkan Perdana Menteri yang boleh membantu menangani isu sosial serta
memperkukuhkan institusi kekeluargaan. Antaranya penambahan cuti
bersalin dan diwajibkan setiap bangunan mempunyai pusat jagaan
kanak-kanak. Agenda sosial ini bukan hanya masalah juvana atau dadah
tetapi juga soal bagaimana untuk memperkukuhkan institusi keluarga.
Kenapa agenda sosial ini begitu dekat di hati Yang Berhormat?
Saya hampir lima tahun di Kementerian Belia dan
Sukan dan saya melihat komitmen kita untuk memupuk belia yang cemerlang,
menunjukkan ciri kepemimpinan yang tinggi melalui Parlimen Belia,
persatuan, kepemimpinan belia, program-program, Felo Perdana dan
sebagainya.
Bukan berjaya sepenuhnya tetapi kita sudah
melihat hasilnya. Cuma saya rasa kesal sedikit sebab kita mungkin, bukan
terlepas pandang, tetapi saya rasa kalau saya tinggalkan kementerian
ini tanpa melihat kepada golongan yang dipinggirkan, tidak lengkap
kerja kita. Jadi, kita perlu memulakan sesuatu sebab kalau Kementerian
Belia dan Sukan sahaja tidak mencukupi sebab banyak kuasa dan
undang-undang berada di bawah kementerian-kementerian lain.
Semasa menjelajah seluruh negara untuk sesi
dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50), saya juga melihat kebimbangan
generasi muda yang banyak menyentuh soal sosial, akhlak dan gejala
sosial.
Mereka ini mungkin tidak terlibat tetapi mereka bercakap
mewakili rakan-rakan sebaya.
Yang saya paling bimbang, masalah ini semakin
susah untuk kita bendung kerana teknologi. Dahulu memang wujud gejala
sosial, tetapi hari ini, gangguan dan juga tekanan serta mungkin
umpanan yang datang daripada mereka yang terlibat dalam media sosial
ini terhadap belia-belia lain, sangat bahaya. Sebab boleh sampai terus
kepada telefon mereka. Penjualan dadah melalui WhatsApp atau WeChat. Ini
bahaya, sebab yang menjadi sasaran adalah pelajar-pelajar sekolah dan
remaja.
Saya difahamkan, di peringkat sekolah rendah,
sudah mula jual gula-gula yang ada sedikit bahan dadah supaya ketagih.
Ini melibatkan remaja dan kanak-kanak yang seusia dengan anak saya
sendiri. Kalau kita tidak serius dalam perkara ini, sampai TN50 mungkin
kita ada sebahagian yang berjaya tetapi sebahagian lagi jauh
ketinggalan.
Saya tidak mahu ambil pendekatan yang melihat
kepada pecahan kaum sebab ini isu sejagat. Tetapi dalam hati saya
sendiri, saya tahulah siapa mangsa utama agenda sosial ini, kaum mana
yang menjadi mangsa utama, kita semua tahu. Kalau tidak ditangani isu
ini, anak-anak Melayu yang paling ke depan dari segi gejala sosial.
Masalah golongan tercicir ini adalah masalah tersembunyi yang menunggu masa untuk meletup. Komen Yang Berhormat?
Ya, sebab itulah saya istilahkan sebagai bom
jangka. Kalau kita tidak buat sesuatu hari ini, kita kena bayar kosnya
pada kemudian hari. Dari segi kos pemulihan, dari segi kos keruntuhan
keluarga, rawatan penagih dadah dan penjara.
Bagi saya, ukuran negara maju bukan hanya dari
segi ekonomi atau prasarana tetapi juga dari segi sejauh mana kita boleh
menjadi negara dan bangsa yang bertamadun.
Kita ambil contoh kes kebakaran pusat tahfiz di
Keramat baru-baru ini. Yang ditangkap adalah remaja. Sudah pasti respon
pertama kita adalah kemarahan tetapi mungkin kita bertanya kepada diri
kita, sejauh mana kita melakukan sesuatu untuk menyelamatkan mereka
daripada memilih jalan tersebut. Mereka tidak bersekolah, menagih dadah,
dari keluarga bermasalah.
Masalah ini sangat tersebar luas, bukan hanya di
kawasan bandar malah di kawasan luar bandar pun agak teruk juga. Mungkin
masalah ini jauh dari pandangan, kita tak nampak.
Bagaimana menggerakkan kesedaran di peringkat akar umbi?
Saya harap semua pihak boleh membincangkan isu
ini dan beri cadangan untuk penyelesaian. Kita perlu belajar amalan
terbaik dari luar negara juga. Yang pasti, kita kena keluar dari
kepompong lama. Kita perlu tengok minda orang muda hari ini kerana bukan
pendekatan spiritual sahaja yang boleh digunakan untuk membantu mereka.





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.