https://critoxium.com/shop/

Terkini

Muhyiddin cuba selamat diri daripada darurat politik


 Oleh Howard Lee

KERAJAAN Muhyiddin Yassin gagal membendung penularan wabak Covid-19 kerana pentadbirannya amat lemah, tidak peduli rakyat dan hanya mementingkan diri serta kroninya sahaja.

Akibatnya rakyat menderita, ekonomi terus menjunam, pengangguran terus menghantui kaum pekerja. Jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terlalu ketat, golongan berpendapatan rendah dan peniaga kecil serta pekerja kedai, restoran dan toko pakaian teruk menderita. Jika PKP terlalu longgar, semakin teruk wabak virus menjalar. Ditelan  mati emak diluah mati bapa.

Tetapi ini bukan kerana takdir atau bencana alam. Ini adalah kegagalan Muhyiddin mentadbir dengan baik setelah mencuri kerajaan yang dipilih oleh rakyat pada 2018. Kini parti-parti yang menyokongnya mula marah. Ahli-ahli Parlimen Umno sudah bersiap sedia untuk menarik diri daripada Perikatan Nasionalnya.

Dengan penarikan sokongan Ahli-ahli Parlimen Gua Musang, Machang serta Padang Rengas terhadap pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional, maka Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebenarnya hilang sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen.

Perlembagaan Malaysia Perkara 43(4) menjelaskan bahawa sekiranya Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Keengganan beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, jelas melanggar dan bertentangan sama sekali dengan Perlembagaan Persekutuan, dan juga ikrar sumpah jawatannya yang berbunyi “saya akan menumpahkan taat dan setia yang sebenar kepada Malaysia, memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Malaysia”.

Sedangkan PKP yang diumumkan baru-baru ini serta undang-undang sedia ada cukup memadai dalam menangani cabaran, nasihat pengisytiharan darurat pada ketika rakyat Malaysia berdepan dengan kesengsaraan dan kesusahan yang tidak pernah dialami, bagai luka digosok garam, dan ke dalam air keruh dituang lumpur.

Nasihat pengisytiharan darurat yang membawa kepada penggantungan fungsi Dewan Rakyat serta Dewan-dewan Undangan Negeri pada saat-saat genting kepada kedudukan politik beliau sendiri, menunjukkan darurat ini jelas hanyalah langkah politik semata-mata.

Muhyiddin telah menyalahgunakan kedudukan dan kuasa beliau sebagai Perdana Menteri atas rasional menyelamatkan rakyat dan negara daripada pandemik, padahal ia adalah langkah selamatkan diri daripada darurat politik yang melanda dirinya dan partinya.

Demikianlah Perdana Menteri yang sedia ada; yang sanggup menghukum rakyat dengan darurat, demi menyelamatkan diri dari darurat politik.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.