https://critoxium.com/shop/

Terkini

Trump didakwa kali kedua, pertama dalam sejarah Presiden AS


WASHINGTON: Donald Trump muncul Presiden Amerika Syarikat (AS) pertama dalam sejarah yang berdepan pendakwaan dua kali selepas Dewan Perwakilan mengundi semalam bagi mendakwanya melakukan hasutan dalam serangan ganas terhadap Kongres minggu lalu.

Senat tidak akan mengadakan perbicaraan terhadap Trump sebelum 20 Januari ketika pemimpin Demokrat, Joe Biden mengangkat sumpah sebagai Presiden AS, sekali gus menyaksikan taikun hartanah itu terlepas daripada risiko terpaksa meninggalkan pejabatnya lebih awal.

Trump bagaimanapun bakal meninggalkan pejabatnya dalam keadaan aib selain berdepan perbicaraan Senat kemudian.

Satu-satunya persoalan di dewan adalah berapa ramai anggota Republikan yang akan bergabung dengan majoriti Demokrat.

Perkara yang membawa kepada pendakwaan kali kedua ialah apabila 10 pemimpin Republikan berpaling tadah bersetuju mengundi untuk mendakwa Trump bersama-sama majoriti pemimpin Demokrat.

Trump yang berada di Rumah Putih tidak memberikan reaksi segera tetapi beliau sebelum ini mengeluarkan kenyataan ringkas yang menegaskan bahawa beliau menentang keganasan dilakukan penyokongnya.

"Mengingati laporan mengenai lebih banyak demonstrasi, saya mendesak supaya tidak ada kekerasan, tidak melanggar undang-undang dan tidak ada vandalisme dalam apa bentuk sekalipun. Bukan itu yang saya perjuangkan," katanya.

"Saya meminta rakyat Amerika untuk membantu meredakan ketegangan dan menenangkan kemarahan. Terima kasih."

Trump dituduh menghasut ribuan penyokongnya untuk menggempur bangunan Capitol di mana kongres sedang bersidang minggu lalu mengakibatkan lima orang terbunuh dan berpuluh-puluh yang lain cedera.

Menggambarkan ketakutan di sebalik pergolakan, anggota bersenjata Pengawal Kebangsaan dikerahkan untuk mengawal keadaan.

Di bangunan Capitol itu sendiri, pengawal dengan penyamaran penuh dan lengkap bersenjata bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Trump selamat daripada pendakwaan kali pertama hampir setahun lalu ketika Senat yang dikuasai Republikan membebaskannya daripada dakwaan menyalahgunakan pejabatnya untuk memfitnah keluarga Biden sebelum pilihan raya.

Kali ini, kejatuhannya disebabkan inti pati ucapan di National Mall pada 6 Januari lalu yang memberitahu bahawa Biden mencuri pilihan raya presiden dan bahawa mereka perlu berarak di Kongres dan menunjukkan 'kekuatan.'

Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi memberitahu dewan bahawa Trump "mesti pergi."

"Beliau secara jelas adalah berbahaya kepada negara yang kita semua cintai," katanya. - AFP

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.