https://critoxium.com/shop/

Terkini

Jurang persepsi di media sosial dan realiti masyarakat

Oleh Zin Mahmud

Di dunia media sosial, khususnya Twitter, WhatsApp dan Facebook sepanjang minggu lalu, dirasakan masyarakat Malaysia sedang bergelora. Terdapat pelbagai isu yang berkait dengan kaum dan agama menyentuh perasaan orang ramai. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjadi sasaran. Tetapi penyokong PH pula membalas serangan. Setiap pagi ada saja hantaran dan komen yang menyentap perasaan sebahagian pengguna.

Penyokong PH dan pembangkang dari Umno dan PAS ternyata sedang terlibat dalam pertempuran maya. Ada laskar maya upahan. Ada yang sukarela. Lebih ramai yang merupakan orang perseorangan yang menegaskan pandangan emosinya.

Tetapi bukanlah minggu ini saja. Sebelum inipun. Sudah berbulan-bulan ada saja isu yang timbul, dan dijangka keadaan ini akan berterusan dan mungkin menjadi hebat pada tahun-tahun akan datang. Lebih-lebih lagi apabila akhirnya jika Dr Mahathir Mohamad menyerahkan jawatannya pada Anwar Ibrahim.
Keadaan dijangka sengit apabila hampir pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kelak.
Pada keseluruhannya, banyak orang berpendapat, termasuk penulis, pihak PH berada dalam defensif. Bukan kerana hujah-hujah mereka tidak kuat, tetapi para penyokong Umno dan PAS lebih berjaya apabila mereka mengolah isu-isu dari sudut agama dan kaum, yang pasti mudah memikat hati banyak orang Melayu.
Tetapi pemerhatian ini hanya berlaku ke atas segmen Melayu dalam Facebook. Ini kerana walaupun media sosial terdiri daripada aplikasi lain seperti Twitter dan Instagram, tetapi kemampuan seseorang pengguna kebanyakannya hanya terhad kepada suatu saluran. Jika seseorang itu tertumpu pada Facebook, maka ikutannya di Twitter dan Instagram adalah berkurangan. Selain itu mereka pula perlu melayari kumpulan WhatsApp yang dirasakan lebih berpengaruh dan kejam. Bagi yang lebih rajin, mereka akan turut melayari portal berita dan blog kegemaran masing-masing. Merentas semua aplikasi itu ialah tontonan popular mereka di YouTube.
Selain itu berlaku pula fragmentasi dalam media sosial. Di Malaysia terdapat 4 segmen bahasa Utama iaitu Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris. Segmen Cina dan Tamil adalah eksklusif dengan hanya mereka yang mengetahui bahasa itui akan menggunakannya. Segmen Melayu dan Inggeris adalah lebih inklusif. Ada banyak orang Melayu, Cina dan India yang berada pada segmen Melayu dan Inggeris. Namun sebahagian besar orang Melayu hanya mengikut segmennya. Tetapi tidak kurang pula orang Melayu turut menyertai segmen Inggeris, yang lebih bersifat multirasial. Segmen Inggeris merentasi Melayu, Cina dan India. Umumnya pengguna segmen Inggeris juga berpaut dengan segmen bahasa masing-masing.
Apabila berlaku pertarungan maya, pertembungan sengit berlaku di segmen Melayu. Di sinilah persaingan antara penyokong PH dan Umno-PAS. Mereka sedang merebut undi Melayu. Seperti mana keputusan PRU14, majoriti orang Melayu berada di pihak Umno dan PAS.
Sementara dalam segmen Inggeris, Cina dan India adalah dipercayai, kebanyakannya memihak pada PH. Walaupun ada juga kritikan hebat terhadap PH, tetapi ia berbentuk serangan terhadap sesuatu isu yang tidak sampai menarik balik sokongan. Kalau ia berkaitan agama dan kaum, maka umumnya serangan daripada orang Cina adalah terhadap parti majoriti Melayu dalam PH iaitu PPBM, PKR dan Amanah. Ini kerana parti itu pasti berusaha meraih sokongan pengundi Melayu yang tidak disenangi oleh orang Cina dan india. Kritikan mereka terhadap DAP adalah kerana kegagalan memelihara kepentingan kaum mereka.
Penulis yang tidak mengetahui bahasa Cina dan Tamil hanya dapat meninjau segmen Melayu dan Inggeris. Dalam segmen bahasa Inggeris, umumnya pesertanya memihak pada PH. Dari kalangan orang Cina dan India, fenomena ini boleh difahami. Tetapi umumnya orang Melayu yang banyak menggunakan bahasa Inggeris adalah bersikap terbuka, dan pastinya lebih cenderung pada PH. Apa yang dipanggil sebagai Melayu liberal adalah sebahagian daripada golongan ini. Malah ada di antara mereka menyokong DAP.
Sementara orang Melayu yang menyokong PPBM ada yang berupa nasionalis dalam erti kata bersikap terbuka seperti aliran politik yang dipegang oleh Mahathir. Sementara penyokong Anwar dan PKR bersikap berbeza daripada Umno. Begitu juga dengan penyokong Amanah yang asalnya adalah golongan progresif dalam PAS mempunyai sikap berlainan daripada pengikut parti lama mereka.
Tetapi landskap politik maya ini berbeza daripada dunia nyata. Jika seseorang tidak menyertai media sosial tetapi sebaliknya masih mengikut perkembangan dalam media konvensional iaitu akhbar, radio dan televisyen, gelora media sosial tidak akan mereka rasai.
Pertarungan antara penyokong PH dan Umno-PAS tidak dirasa sengit dalam media konvensional. Sememangnya pengguna media konvensional semakin berkurangan berbanding dengan media sosial. Tetapi masih banyak rakyat Malaysia yang mengikut perkembangan politik melalui media konvensional.
Sifat media konvensional tidaklah seperti media sosial. Kitaran maklumat yang disampaikan tidaklah sepanjang masa. Ia ada tempohnya. Harian bagi akhbar. Waktu-waktu tertentu bagi radio dan televisyen. Selain itu, ia adalah satu hala. Tidak seperti media sosial yang ada kemudahan komen dan jawapan balas, malah secara serta-merta. Seperti media sosial, bagaimanapun, ia juga mempunyai segmen menurut bahasa iaitu Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris. Walaupun melalui radio dan televisyen, mereka boleh bertukar-tukar saluran, tapi umumnya minat seseorang adalah terhadap 1 atau paling banyak pun 3 saluran.
Umumnya kecenderungan media konvensional adalah berkecuali atau tidak memusuhi kerajaan PH. Hanya akhbar Utusan Malaysia yang boleh dianggap tetap memihak pada agenda Umno dan PAS.
Tetapi landskap media politik sama ada yang berbentuk maya atau konvensional masih tetap tidak menyeluruh. Ini kerana ada sebahagian rakyat Malaysia seperti mana-mana pun di dunia yang tidak mempedulikan perbahasan politik. Sebahagian mereka adalah pengundi dan persepsi yang mereka ada dalam minda terbentuk secara timbunan dari masa ke masa, tanpa fokus dan akhirnya sampai ke muktamad untuk mereka mengundi siapa.
Lim Kit Siang dalam kenyataannya baru-baru ini ada menyebut apa yang berlaku dalam masyarakat tidak mencerminkan pergolakan yang terserlah dalam alam maya.
Beliau menyebut betapa kehidupan masyarakat di Malaysia didapati tetap harmoni. Hubungan baik antara kaum didapati berjalan seperti biasa walaupun dalam alam maya seolah-olah berlaku perpecahan yang membimbangkan.

Adalah tidak diketahui apa yang sebenar berlaku di kalangan masyarakat. Untuk mengetahuinya tentulah memerlukan kajian dan tinjauan secara ilmiah atau menggunakan kaedah ukuran sosial yang berwibawa.
Atau pemimpin DAP itu mahu mempertahankan PH dengan menggambarkan kedudukan serta sokongan terhadap kerajaan tidak berubah. Apa yang sebenar berlaku perlu diketahui dan realiti jika benar perlu diterima dan dihadapi.
Ada 3 senario daripada pertembungan politik dalam alam maya. Pertama, sememangnya kedudukan kerajaan PH sedang merosot hinggakan ia boleh kalah jika berlaku PRU sekarang.
Ini membawa kepada senario ke-2. Mungkinkah PH hanya kalah di alam maya? Maksudnya jika pengundian dilakukan ke atas pengguna media sosial segmen bahasa Melayu, PH akan kalah.
Senario ke-3, jika dicampur dengan orang di luar segmen Melayu media sosial dan semua orang di luar alam maya, PH mampu terus menang dan kekalahannya di alam maya adalah sebenarnya terhad.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.