https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kerajaan dalam usaha pujuk tujuh negeri pinda enakmen had umur perkahwinan bawah umur

PERAI: Kerajaan dalam usaha untuk  memastikan tujuh negeri yang belum bersetuju untuk meminda enakmen berkaitan penetapan had umur minimum perkahwinan kanak kanak bawah umur kepada 18 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa, berkata perkara itu akan dibangkitkan sekali lagi dalam siri pertemuan yang  akan dihadiri pimpinan tertinggi peringkat negeri, termasuk Majlis Agama yang dipengerusikan Perdana Menteri pada tahun depan.
Katanya, tujuh negeri yang tidak bersetuju meminda perundangan berkaitan adalah Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan.

Beliau tidak menolak kemungkinan negeri yang belum melaksanakannya itu disebabkan mereka masih belum bersedia untuk berbuat demikian.
"Di pihak kita, kami sudah bercakap dengan semua majlis agama Islam negeri tentang mengehadkan umur bawah umur dan ada beberapa negeri yang masih tidak mahu melaksanakan dalam bentuk enakmen walaupun kita sudah yakin dan sudah maklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Pembangunan Wanita," katanya selepas  melancarkan 10 siri Buku Rahmah di Hotel Ixora, di Perai pada Rabu.

Dalam pada itu, ditanya sama ada wujud campur tangan politik di sesetengah negeri yang mempengaruhi kepada persetujuan bagi meminda enakmen itu, Mujahid berkata, pihaknya tidak mengetahui mengenainya.

Namun mengakui lebih mudah berinteraksi dengan negeri yang sama pentadbirannya dengan Kerajaan Persekutuan berbanding ditadbir pembangkang.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat beberapa paltform yang boleh digunakan untuk berhubung dengan negeri berkenaan bagi membincangkan mengenai isu terbabit.

Antaranya menerusi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam yang akan bertemu tiga kali setahun dengan dihadiri Ketua Menteri, Menteri Besar,  Exco Agama dan Yang Dipertua Majlis Agama.

Selain itu, Mujahid berkata keputusan juga boleh dibuat oleh Majlis Raja-Raja dan Majlis Agama Islam negeri berkenaan perlu akur dengan keputusan itu.

Pada Selasa, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada sesi Dewan Rakyat memaklumkan Kerajaan sedang menyiapkan Draf Pelan Strategik Kebangsaan bagi menangani masalah perkahwinan bawah umur yang kini dalam peringkat akhir penyediaan.

Pelan mengandungi program tindakan membabitkan 61 agensi peringkat kerajaan Persekutuan dan negeri itu dijangka dibentang menerusi memorandum Jemaah Menteri, hujung tahun ini.

Antara langkah diambil bagi mengekang perkahwinan bawah umur ialah menerusi perundangan, selain mengenal pasti punca ia berlaku.

Setakat ini, hanya Selangor yang meminda enakmen ini manakala Wilayah Persekutuan dalam proses melakukan pindaan.

Lima negeri lain yang menyatakan persetujuan meminda perundangan adalah Pulau Pinang, Sabah, Johor, Melaka dan Perak.

Tujuh negeri yang tidak bersetuju meminda perundangan berkaitan adalah Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.