Tahniah! Semarak anak muda hijaukan Fastaqim 2.0
Menuju Kemenangan yang digelombangkan oleh penyertaan sekitar 70
peratus anak muda dalam Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus
pada 29 dan 30 September lalu menyerlahkan semarak tajdid ingin
diterjemahkan golongan ini terhadap masa depan negara. Anak muda sedang
memantulkan isyarat jelas kecenderungan mereka untuk bersama PAS dan
Gagasan Sejahtera menjelang PRU14 agar perubahan berlaku di medan
demokrasi membawa kepada terbentuknya pemerintahan baharu berteraskan
Islam.
Anak muda hijau sedang membuktikan betapa mereka adalah pemain
utama peranan penting dan bersejarah ini yang nantinya dapat
dilaksanakan secara penuh beradab dan berakhlak; tanpa perlu disusuli
elemen radikal, menggugat atau merosakkan. Kami percaya, ianya terhasil
dari kefahaman dan jati diri anak muda terhadap hal ehwal serta
perkembangan politik semasa, selain kesediaan memposisi dan menyumbang
sesuatu yang bermakna demi negara tercinta ini. Sekian lama ternoda di
bawah pemerintahan BN, anak muda mahu menjadi penyelamatnya.
Anak muda ternyata sudah muak dengan segala fitnah dan karenah
ditimpakan ke atas negara oleh tangan-tangan pemimpin yang menguasai
bumi Malaysia secara sombong dan rakus selama ini. Kerana itu anak muda
hadir ke Fastaqim 2.0 dengan pengorbanan dari kemampuan dan biaya
sendiri yang semua itu pasti dicatat dengan ganjaran pahala
sebesar-besarnya di sisi Allah S.W.T. Iltizam dizahirkan oleh anak muda
ini sesungguhnya suatu yang amat murni dan mulia kerana berdiri untuk
satu perjuangan tanpa sogokan material dan janji-janji.
Sebaliknya sebagai menunaikan tanggungjawab kepada Allah dan Rasul
agar lahirnya rakyat dan negara sejahtera yang di dalamnya tertegak cara
hidup dan hukum berlandaskan Islam. Anak muda seperti ini jugalah
harapan untuk membimbing kembali rakan muda mereka yang lain dari lalai
dan leka oleh pelbagai hambatan tipu daya dunia hingga tenggelam ke
pelbagai kancah kemungkaran. Malah, dengan segala semangat, inovasi dan
kepakaran didokong anak muda dewasa ini bakal memakmurkan Malaysia jauh
lebih berdaya di masa depan.
Seluruh kesungguhan ini mengingatkan kepada anak muda para Sahabat
R.A yang ditarbiyah dari madrasatur Rasulullah S.A.W. Dari kesabaran dan
kesepaduan merekalah telah membuahkan kejayaan menjinakkan keangkuhan
kuasa besar Rom dan Parsi biarpun menempuh jalan perjuangan ratusan
tahun. Namun, dari susur galur mereka jugalah menyebarkan rahmat Islam
yang menaungi dua pertiga muka bumi dan dinikmati keimanan itu sehingga
kini. Itu jugalah jasa sedang dilakar anak muda hijau di pertiwi
tercinta bernama Malaysia.
Menanti wisel cabaran PRU14 yang bakal ditiupkan pada bila-bila
masa dari sekarang, kami penuh kepercayaan dan doa berharap seluruh anak
muda telah bersedia bersama menjadi sebahagian gemblengan tenaga untuk
menghadapinya. Marilah kita istiqamah di jalan ini hingga akhir hayat
menemui Allah Taala dalam menggapai martabat tertinggi di sisi-Nya serta
dihimpunkan bersama golongan diredhai-Nya. Tahniah atas kehadiran,
komitmen dan menjadi penggerak yang berjaya. Fastaqim!
USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Post Comment
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.