Bajet Kedah tidak tunai janji 6 projek mega PRU13
Oleh MOHD ALI HASHIM
Bajet 2018 negeri Kedah yang dibentangkan oleh Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dengan tema ‘Meneruskan kemajuan, menzahir impian’ baru-baru ini hanyalah merupakan bajet ‘touch up’ yang tidak mampu direalisasikan.
Demikian dinyatakan oleh Ketua Pemda Amanah Negeri Kedah, Asmirul Anuar Aris mengulas mengenai peruntukan RM1.38 bilion dengan jangkaan defisit RM75.72 juta atau 9.71 peratus sepertimana yang diumumkan oleh Ahmad Bashah.
Menurut Asmirul lagi, tema yang dibentangkan oleh Ahmad Bashah hanyalah sebagai penyedap kata, sedangkan enam projek yang menjadi impian 2.1 juta rakyat Kedah belum lagi dapat ditunaikan sejak janji tersebut dibuat pada pilihan raya umum (PRU) ke 13 yang lalu.
“Bagaimana MB boleh mendakwa bahawa tema ‘meneruskan kemajuan, menzahir impian’ akan menjadi kenyataan, sedangkan janji yang dibuat pada PRU yang lalu masih lagi menjadi fantasi dan angan-angan kerajaan BN yang memerintah Kedah.
“Enam projek mega sepertimana yang dicanang-canangkan oleh BN Kedah tiada pun dibentangkan dalam bajet 2018 sepertimana yang diumumkan oleh Ahmad Bashah.
“Apakah ianya hanya merupakan perancangan strategik kerajaan ataupun hanya sebagai gula-gula politik PRU ke 13 yang akan dibawa untuk dimomokkan sekali lagi menjelang PRU 14, ” soalnya.
Beliau juga berkata, sehingga kini rakyat Kedah masih tertanya-tanya bila agaknya impian yang dilaung-laungkan sebelum ini akan menjadi nyata.
“Sebelum ini janji untuk melaksanakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim, Bandaraya Aero Kedah, Lebuhraya Sungei Petani-Kedah Inner Expressway belum lagi menjadi kenyataan.
“Begitu juga dengan projek untuk mewujudkan Bandaraya Getah Kedah serta Taman Sains dan Teknologi Kedah yang entah bila akan dapat direalisasikan sedangkan ia telah pun dijanjikan sejak hampir 5 tahun yang lalu.
“Kedah mempunyai Menteri Besar dan Menteri Pendidikan untuk menjadikan projek ini sebagai satu realiti khususnya bagi Bandaraya Getah di Padang Terap untuk memberi peluang pekerjaan dan membela nasib penoreh getah.
“Sebaliknya ia belum menampakkan apa-apa perkembangan serta amat mengecewakan golongan bawahan serta anak muda yang mengharapkan peluang pekerjaan dapat diwujudkan melalui projek ini, ” katanya.
Asmirul yang merupakan Ketua Pemuda Pakatan Harapan Kedah juga berkata, golongan muda menagih janji kerajaan BN yang mendakwa dalam slogan manifesto 2013 ‘BN menang, Kedah senang’.
Namun begitu ujarnya, apa yang sedang berlaku adalah sebaliknya, apabila majoriti golongan muda tidak mendapat peluang pekerjaan dan menambahkan jumlah pengangguran di Kedah.
“Seandainya kerajaan pimpinan Ahmad Bashah bersungguh-sungguh mahu merealisasikan segala janji dalam PRU ke 13 yang lalu, sudah pasti antara enam projek mega tersebut sudah ada yang telah diwujudkan.
“Sebaliknya dalam tempoh kepimpinan BN yang menghampiri hayat mereka menjelang PRU ke 14 yang akan datang, tidak ada satu pun projek mega yang mereka war-warkan telah berjaya untuk dimanfaatkan oleh rakyat Kedah.
“Secara jelas, ini membuktikan bajet yang dibentangkan kali ini hanyalah sebagai menanam tebu ditepi bibir, untuk mendapat sokongan sekali lagi, ” tegasnya.
Sehubungan itu katanya, BN di ingatkan supaya tidak banyak bermain politik, sebaliknya serius untuk menunaikan segala janji-janji mereka sebelum menjelangnya PRU ke 14 tidak lama lagi.
“Terlalu banyak pembohongan BN yang tidak akan dapat dilupakan oleh rakyat Kedah termasuklah laungan keramat Perdana Menteri di Baling semasa kempen pilihan raya umum yang lalu.
“Perdana Menteri dengan begitu bersemangat berjanji kerajaan BN jika menang akan mewujudkan UiTM dan Hospital Pakar Baling.
“Tapi hingga kini bukan saja bangunan tidak wujud malah bayang-bayangnya tidak ada langsung, ” tambahnya lagi.
Kata Asmirul lagi, bajet ini juga masih diragui kerana sudah bertahun-tahun masalah pengangguran dikalangan golongan muda semakin meningkat sepertimana yang dilaporkan oleh Kementerian Sumber Manusia.
Oleh itu katanya, menjelang PRU yang akan datang lebih dua juta rakyat Kedah harus berfikir semasak-masaknya sebelum memberi mandat sekali lagi kepada Umno dan BN untuk menerajui kepimpinan kerajaan negeri.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.