Nasi ayam, keropok dan Melayu malas
OlehAiman Azahari
“Kalau Pak Dik kenangkan balik masa mula-mula dulu, malu rasa nak cerita pada orang. Sehari jual 2 ekor je ayam, bila habis tu habislah.” Cerita pak menakan saya satu hari semasa kami bersembang tentang sejarah kedai nasi ayamnya. Kini kedai NasiAyamPapa sudah mempunyai 2 cawangan di Kuantan, berkat usaha keras dan ketabahannya berniaga sepanjang 5 tahun dengan rancangan penambahan kedai di masa akan datang. Kedua-dua kedai ini diusahakan orang melayu sepenuhnya, dari tuan punya sehingga pelayan pelanggan di meja.
Bapa sepupu saya, Nadzir, yang mesra dengan panggilan Pak Dik (pada kami, anak-anak buahnya) atau Jay (pada kawan-kawannya), tidaklah datang dari keluarga yang kaya-raya dengan limpahan wang ringgit. Ibunya, arwah Hajah Zainab adalah ibu tunggal yang mengusahakan perniagaan keropok lekor secara kecil-kecilan di kampung. Hasil perniagaan itu, arwah berjaya membesarkan 5 orang anak seorang diri setelah kematian suaminya.
Nadzir, seorang graduan jurusan pemasaran belajar bertatih dalam perniagaan tanpa sebarang jaring selamat (safety net) untuknya rebahkan diri jika usaha ini tidak berhasil. Namun, atas dasar kecintaannya pada makanan dan kemahuan untuk memberi kepuasan pada mereka yang merasa makanannya, Jay gagahkan diri untuk mencuba.
Hakikat ini membuatkan saya terkenang akan bebenang twit “tidak bekerja” yang disiarkan Dr Mahathir Mohamad 2 minggu lepas dan ia membuatkan saya sedar betapa angkuh dan terpisahnya perdana menteri kita daripada realiti kehidupan rakyat marhaen yang sebenar. Mahathir yang lahir pada zaman penjajahan British masih lagi memegang teguh gagasan mitos “Melayu malas” yang ditanam dalam pemikiran masyarakat oleh penguasa asing.
Stigma sosial yang terbit dari ideologi kapitalis penjajah ini masih
subur bukan sahaja dalam pemikiran Mahathir, tetapi juga mereka yang
turut terperangkap dalam naratif malas ini. Golongan ini bukannya
mahukan masyarakat yang berfikiran ke hadapan dan progresif, apa yang
mereka mahukan adalah semut-semut pekerja yang bertungkus-lumus bekerja
menurut kehendak ratu (atau dalam kes ini raja semut).
Orang Melayu bukanlah malas seperti yang canang Mahathir berulang kali sejak dari zaman 60-an sehingga sekarang, cumanya kudrat yang dikeluarkan orang Melayu tidaklah mendatangkan keuntungan bagi kaum kapitalis, dan itu bagi mereka adalah “epitome” kemalasan. Masakan arwah Hajah Zainab seorang yang malas, jika dia dan wanita Kampung Beserah sanggup bangkit sebelum subuh untuk mendapatkan bekalan ikan yang baru naik dari laut untuk dijadikan keropok. Bukan seekor dua ikan yang perlu disiang, bertong-tong banyaknya. Itu tidak lagi dihitung kudrat tenaga yang diperlukan untuk menguli, menggentel, merebus sebelum kerja menghiris dan menjemur untuk menghasilkan keropok keping dan akhirnya dibungkus untuk jualan.
Walau diwaktu mudanya, saya tidak rasa yang Mahathir mampu mengerah tenaganya sekuat wanita Kampung Beserah ini. Namun, mereka ini manusia yang malas mengikut kaca mata perdana menteri Malaysia kerana tidak mampu untuk membesarkan perniagaan mereka. Bagi seorang ibu tunggal, perkara yang penting adalah untuk meletakkan nasi di meja makan, baju di tubuh keluarga dan buku sekolah di tangan anak-anak, jadi maafkanlah mereka jika tidak sempat untuk memikirkan jalan untuk menyumbang kepada ekonomi kapitalis yang hanya mengira keuntungan semata-mata.
Orang Melayu kini adalah golongan yang keliru, bertahun-tahun kita disuguh dengan sentimen yang kita tidak sepintar, tidak sehebat, tidak punya keberadaban seperti tuan-tuan penjajah barat sehingga kita membatinkan fakta yang tidak berasas itu. Maka, kita memisahkan diri daripada adat, seni dan budaya sendiri sejauh mungkin sehingga tidak lagi punya jati diri.
Separuh jalan, orang Melayu diberitahu pula yang kita tidak sepatutnya mengikut paradigma penjajah yang kafir dan kita seharusnya kembali pada Islam. Timbul pula persoalan Islam versi siapa? Imam Ja’far Al-Sadiq? Imam Syafie? Hanafi? Hambali? Maliki? Muhammad Abd Al-Wahhab? Zakir Naik? Sedang kita tengah berpinar mata mencari imam untuk diturutkan, ditetapkan pula satu versi Islam ke atas kita yang secara tidak langsung memerangkap kita dalam tawanan minda neo-salafis/Wahhabi pula.
Maka sekarang lahirlah satu generasi orang Islam “kelahiran semula” yang lantang melaungkan cogan kata “ketuanan Melayu” dan “daulah Islamiah” tanpa sebarang pemahaman tentang konteks, sejarah dan budaya. Keadaan lebih keruh dengan adanya politikus dan pemimpin (dari kedua-dua belah dewan) yang bertopengkan agama, menginjak-injak kepala kita agar terus tunduk bawah tapak kaki mereka. Terus meneruslah orang Melayu jatuh dalam perangkap minda tertawan.
Kerana keberadaan kita dalam putaran tawanan minda yang tidak berkesudahan, mudah sahaja untuk mereka yang berniat jahat untuk terus-menerus memperbodohkan kita, contohnya dengan kempen boikot yang dilabucikan dengan manik-manik sentimen agama dan permata palsu ketuanan kaum, yang terbaru sekali kempen “Buy Muslim First” (BMF).
Di Kuantan ini, satu rantaian restoran terkenal sudah menjadi mangsa fitnah dek kerana kempen BMF. Tular satu mesej WhatsApp yang mengatakan rantaian restoran ini milik 100% peniaga Cina dan tuan kedai Melayu itu hanya patung wayang semata-mata. Natijahnya, jualan kedai mereka merosot sehingga pihak pengurusan terpaksa mengeluarkan kenyataan media untuk menerangkan keadaan sebenar.
Dalam kenyataan itu, mereka menerangkan yang isteri tuan kedai (seorang Melayu) dan rakan kongsinya yang berbangsa Cina itu memiliki saham sama rata dalam syarikat mereka. Rantaian restoran ini juga mengambil lebih kurang 350 pekerja Islam dari ketua tukang masak sehingga pelayan meja dan kalangan mereka itu terdiri daripada ibu tunggal, warga emas dan golongan belia. Jika kempen fitnah terhadap restoran ini berterusan, apakah nasib yang menanti pekerja-pekerja ini?
Yang akan bertepuk tangan mendabik dada adalah si pemfitnah kerana kononnya berjaya menjatuhkan perniagaan Cina kafir tapi yang menanggung siksa adalah 350 pekerja Melayu yang akan kehilangan kerja. Padanlah muka pekerja itu semua kerana dari awal malas mencari kerja dengan peniaga Melayu Islam. Nak sangat bekerja dengan Cina kan? Nah rasakan.
Menjadi seorang Melayu di Malaysia adalah sesuatu yang melelahkan. Di satu pihak kita berdepan dengan penguasa yang percaya orang Melayu itu kaumnya pemalas, dan di satu pihak lagi kita berdepan dengan manusia fanatik bangsa dan mabuk candu agama yang sentiasa mempersoalkan kemelayuan dan keislaman seseorang.
Jangan terkejut jika satu hari nanti, Melayu yang menjadi rakan kongsi dengan bukan Melayu akan dianggap sebagai pengkhianat bangsa dan fatwa dikeluarkan menyatakan darahnya halal ditumpahkan. Wayang ini sudah kita tonton berkali-kali, yang paling tersohor gambarnya datang dari Jerman; diterbit, ditulis, diarah dan dilakonkan oleh Adolf Hitler dan kuncu-kuncu keparat.
Sudahlah orang Melayu (bani Tamim, bani Keturah, bani Jawi) ini sememang mengagungkan Adolf Hitler sehingga ke taraf maula. Jadi untuk kita sampai ke tahap itu bukanlah sesuatu yang mustahil, selangkah tapak sahaja.
Orang Melayu bukanlah pemalas. Orang Melayu adalah golongan yang mindanya tertawan, bukan sahaja dari penjajah British, tapi juga sekarang penguasa tempatan dan pemimpin yang menunggang agama dan sentimen kaum. Kerana mindanya tertawan, mudah sahaja mereka dimomokkan dengan jembalang yang tidak wujud.
Melayu seperti juga kaum lain, ada yang pemalas, ada yang penipu, yang sembang kencang, yang bacul, yang jahat, yang sombong, yang bodoh. Tapi ramai juga dalam kalangan mereka yang rajin, bercakap benar, berani, baik hati, rendah diri dan cerdik pandai.
Malas bukan milik mutlak orang Melayu sahaja tuan doktor. Tolonglah hentikan retorik basi ini, kami sudah muak.

Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.