#BenderaPutih ilhamkan kempen bantuan kit kebersihan wanita
Terilham dengan kempen mengibarkan bendera putih, seorang influencer media sosial, Dolly Dalilah terpanggil untuk menyediakan kit kebersihan wanita bagi mereka yang memerlukan keperluan itu namun sukar memperolehinya kerana terkesan dengan sekatan pergerakan.
Inisiatif yang dimulakan sejak awal minggu ini mensasarkan golongan wanita dari kawasan Shah Alam dan Subang Jaya, Selangor.
“Inspirasi saya adalah apabila saya ternampak gerakan bendera putih. Saya nampak ramai orang memerlukan barangan asas dan sebagai seorang wanita saya tahu kepentingan keperluan asas selain makanan sangat diperlukan tapi sangat diambil ringan,” katanya kepada Malaysiakini.
Antara barangan di dalam kit tersebut merupakan tuala wanita, syampu dan perapi rambut, gel mandian, panadol menstruasi, pencukur, pelitup muka pakai buang, cecair pensanitasi tangan, deodoran dan sabun pencuci baju.
Kos yang diperlukan untuk satu pek kit tersebut sekitar RM100-RM120, di mana sumbangan turut disalurkan oleh pengikutnya di Instagram dan warganet di media sosial.
Dia berkata penghantaran dapat dilakukan sebanyak 10 kali dalam seminggu bagi mereka yang memerlukan.
Inisiatif itu dilakukan melalui platform di akaun Twitter dan Instagramnya, DollyDalilah.
“Saya tahu harga tuala wanita, dan toiletries sangat mahal dan ramai orang lebih rela guna wang untuk makanan tapi bukan untuk kebersihan dalam masak terdesak ini.
“Saya cuba letakkan diri saya dalam situasi mereka. Saya juga banyak berkomunikasi dengan followers saya di Instagram untuk tahu lebih lanjut,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan yang mendapatkan bantuan tersebut merupakan di kalangan remaja yang enggan membebankan keluarga mereka ketika ini.
“Mereka adalah golongan yang tidak mempunyai sebarang pendapatan atau yang hilang pekerjaan disebabkan Covid-19,” katanya.
Kempen kibar bendera putih merupakan simbolik memohon bantuan yang bermula sejak minggu lalu mendapat perhatian ramai dan ia dilihat berjaya apabila terdapat ramai pihak yang tampil membantu golongan memerlukan terutamanya dari segi bantuan makanan.
Diminta mengulas mengenai cadangan yang perlu disalurkan oleh kerajaan untuk golongan wanita yang memerlukan bantuan sedemikian, Dolly Dalilah berpendapat rakyat memerlukan pelbagai bantuan lain selain makanan sahaja, di mana kerajaan perlu mendekatkan diri dengan rakyat agar dapat memahami situasi yang sebenar secara teliti.
“Saya juga berharap kerajaan dapat memberi kebenaran kepada NGO (badan bukan kerajaan) yang berdaftar surat MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) untuk mereka melakukan pengagihan (bantuan) di luar bandar," katanya.
Kesedaran isu
Sementara itu, Najihah Mohd Jefry yang bimbang dengan mereka yang terjejas ketika pandemik Covid-19 di negara ini berkata dia memulakan inisiatif yang sama sejak Khamis lalu apabila melihat hantaran di Instagram mengenainya.
Menurut pelajar jurusan komunikasi berusia 22 tahun itu, dia kemudian mula mengira peruntukan yang diperlukan untuk inisiatif tersebut dan berkongsi mengenainya dengan keluarga dan rakan terdekat.
“Beberapa minggu lalu, kawan saya ditugaskan untuk melakukan satu temubual mengenai isu kemiskinan haid di kalangan rakyat Malaysia dan saya juga antara yang ditemubual, dan menyedari kemiskinan haid merupakan isu yang dilarang dan tidak banyak yang bercakap mengenainya.
“Kemudian saya juga mendapati seorang pengaruh media sosial memulakan projek ini di dalam Instagram - mengedarkan kit tersebut di sekitrar Subang Jaya dan Shah Alam. Jadi saya pun melakukannya di sekitar Johor Bahru.
“Saya menyedari bahawa rakyat Malaysia bukan sahaja memerlukan bantuan makanan untuk hidup tetapi juga kebersihan yang menjadi kepentingan untuk kita semua,” katanya kepada Malaysiakini.
Dia juga memulakan inisiatif itu melalui platform Instagram dan Twitternya, @urlinna, di mana dia berjaya menyumbangkan sekitar 15 kit pada minggu ini.
Barangan yang terdapat dalam kit tersebut merupakan tuala wanita, sabun pencuci baju, gel mandian, cecair pensanitasi tangan, ubat gigi dan berus gigi, pelitup muka dan ubat-ubatan.
Turut sediakan bantuan tambahan
Dia membelanjakan RM40 hingga RM50 untuk setiap kit tersebut, tanpa barangan tambahan, memandangkan mereka yang mendapatkan bantuan turut berdepan dengan masalah lain seperti kekurangan sumber kewangan, suami yang kehilangan pekerjaan dan bayaran sewa bilik.
“Mereka yang datang kepada saya untuk bantuan selalunya akan memberitahu mengenai latar belakang mereka terlebih dahulu melalui WhatsApp dan kadang-kala saya akan memberikan bantuan tambahan seperti makanan, lampin untuk bayi walaupun ia tidak termasuk dalam kit tersebut pada awalnya,” katanya.
Katanya, mereka yang mendapatkan bantuan terdiri daripada ibu tunggal, ibu yang baru melahirkan dan keluarga yang mempunyai masalah kewangan.
“Mereka yang baru bergelar ibu memerlukan tuala wanita yang banyak. Oleh itu saya dengan terbuka hati untuk memberikan lebih kepada mereka.
“Saya percaya terdapat mereka yang memerlukan bantuan tetapi tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan bantuan tersebut," jelasnya.
Tambah Najihah, dalam menangani isu 'kemiskinan haid', bantuan kewangan dan makanan sahaja tidak mencukupi tetapi penjagaan kebersihan peribadi terutamanya terhadap wanita juga harus menjadi keutamaan.
“Pada pendapat saya, kerajaan dan organisasi perlu bekerjasama dalam mengenalpasti mereka yang berdepan dengan kekurangan asas seperti ini dan menyalurkan bantuan kepada mereka.
“Selain itu, kerajaan dan organisasi tertentu juga boleh menambahbaik sumbangan melalui aktiviti-aktiviti tanggungjawab sosial korporat,” katanya.
Sumbang tuala wanita di perpustakaan
Sementara itu, In Between Cultura (IBC) iaitu sudio yang menghasilkan tuala wanita kain dan pelitup muka kain, turut mengambil inisiatif yang sama dengan menyumbangkan tuala wanita pakai buang di perpustakaan komuniti Little Giraffe Story House.
Ia bermula apabila jurucakap IBC terbaca laporan berita mengenai seorang bapa yang tidak mampu membelikan tuala wanita untuk anak perempuannya kerana kehilangan pekerjaan.
“Ramai yang merasakan makanan adalah keperluan asas tetapi mengabaikan hakikat bahawa tuala wanita juga merupakan keperluan wanita juga,” kata jurucakap IBC.
Pada 8 Julai lalu, IBC turut menyumbangkan tuala wanita pakai buang dan pelitup muka kain kepada enam keluarga yang memerlukan di Bandar Mahkota Cheras, Kuala Lumpur selepas seorang lelaki datang kepadanya untuk meminta bantuan supaya dapat menolong menyediakan bantuan tersebut.
“Selepas perbincangan bersama perpustakaan itu, kami memutuskan untuk menolongnya meraih sumbangan dan membeli barangan keperluan,” katanya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.