Salahuddin yang berjiwa seni
Sempena PRK Pulai dan Simpang Jeram kami adakan Malam Memperingati Salahuddin’ yang diisi dengan persembahan nyanyian, deklamasi puisi, petikan gitar dan juga pidato.
Mungkin tidak ramai yang tahu cinta Salahuddin Ayub kepada seni.
Berada dalam PAS yang ketika itu tebal keraguan terhadap budaya dan seni adalah cabaran sebagai pemimpin. Namun pada zaman menjadi ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin melakukan percubaan yang berani.
Satu daripadanya ialah meneroka aspek kebudayaan dan kesenian.
Artikel ini akan bercerita mengenai Salahuddin dalam Pemuda PAS ketika ramai anak mudanya naif mengenai sumbangan bekas menteri itu gigih bergelut mahu menjadikan parti berkenaan bertaraf nasional, terbuka dan diterima pelbagai kaum.
Ia berbeza daripada apa yang berlaku sekarang apabila parti itu menjadi jumud, opportunis dan ekstrem, manakala Seniman dan artis menjadi tunggangan sahaja.
Kekuatan Salahuddin adalah mengimbangi pelbagai faktor kritikal untuk kepentingan agama dan negara. Seperti dalam politik, Salahuddin - dalam konteks kesenian - berani menongkah arus dalam parti.
Meneroka segmen baru penyokong
Kerana itu jugalah sehingga kini PAS menikmati faedah politik daripada pendekatan Salahuddin dulu.
Semasa memimpin Pemuda PAS, parti itu menganjurkan konsert secara live buat kali pertama di Markaz Tarbiyyah Taman Melewar.
Sebelumnya memang ada acara nyanyian secara kecil-kecilan di pelbagai program parti, namun ia hanya bersifat sampingan. Biasanya penyanyi atau artis dijemput sebagai penarik kepada masyarakat untuk hadir.
Konsert di Taman Melewar itu menampilkan Ustaz Aqil Hayy, selain Ito dan Ghani dari kumpulan Blues Gang, serta Disnman yang sering mendeklamasikan sajaknya dalam program PAS.
Biasanya persembahan nyanyian dalam program PAS cuma menggunakan kaedah minus one kerana ia lebih menjimatkan dan mudah.
Namun untuk program sulung berkenaan, selain menggunakan lampu, sistem audio khas, dan asap, persembahan diadakan secara live. Gitar elektrik dan keyboard digunakan.
Melalui pendekatan itu, kehadiran segmen baru ke dalam program PAS mula diterokai.
Bagaimanapun untuk menganjurkan konsert semata-mata sebagai program parti memang boleh mengundang polemik. Mengadakan konsert juga tidak semudah menganjurkan ceramah.
Mesyuarat yang dipengerusikan Salahuddin sendiri memberi ruang seluas-luasnya kepada Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS membahaskan cadangan mengadakan konsert tersebut.
Beberapa ahli membantah namun terdapat juga suara yang menyokong seperti Zulkifli Yaakub, Mujahid Yusof, Misbahul Munir Masduki, Ustaz Zulkarnain Abidin dan lain-lain.
Akhirnya Salahuddin memutuskan untuk meneruskan konsert tersebut dengan pembiayaan oleh Pasti Pusat. Jika tidak dipecahkan ruyung, masakan dapat sagunya. Kebetulan Pasti sedang merayakan ulang tahun ke-25.
Salahuddin juga meminta semua ahli Jawatankuasa Pemuda PAS memberi sokongan dan hadir bagi meraikan program yang julung-julung kali diadakan itu.
Ia bukanlah soal penganjuran konsert muzik semata-mata, sebaliknya suatu lambang keterbukaan PAS menerima khalayak budaya sebagai watak penting dalam parti. Bukan tempel-tempelan atau sampingan sahaja.
Pernah belajar main gitar
Keberanian Salahuddin untuk mengadakan konsert tersebut telah memecahkan tradisi markas yang selama ini menjadi tempat tempat ahli berhimpun untuk acara politik seperti muktamar, mesyuarat dan ceramah.
Pernah Salahuddin pernah menyatakan rasa cemburunya semasa muda apabila rakan-rakan sekampung boleh memetik gitar sambil mendendangkan lagu-lagu cinta popular pada zaman itu.
Duduk melepak bersama-sama rakan sekampung memang detik yang menyeronokkan. Salahuddin meminati lagi Widuri dendangan Bob Tutupoly, penyanyi dari tanah seberang.
Jiwa Salahuddin amat romantis. Patah kata-katanya penuh bersastera. Jika dilayan bahasanya, akan keluarlah bait-bait puisi pujangga dan penyair dari mulut itu.
Penyanyi seperti Ebiet G Ade, Zubir Ali, dan Kopratasa yang menjadikan puisi sebagai lirik lagu menyenangkan dirinya. Hal itu kerana di sebalik nada lagu ada terselit bait-bait kata yang indah.
Minat Salahuddin lebih kepada lagu-lagu pop berbanding rock yang mempunyai pengaruh luas ketika itu. Namun dia tetap 'layan' dan mengikuti perkembangan kumpulan rock tanah air seperti Search, Wings, Lefthanded.
Tidak terkecuali dia juga mengikuti perkembangan Sweet Charity dari Singapura.
Salahuddin ada keingina untuk bermain gitar. Justeru puas dia belajar dengan rakan-rakan sekampungnya tetapi jari tetap kaku untuk menari mengikut kod.
Sesekali kawan-kawan Salahuddin mentertawakan dia. Sudah tentu Salahuddin rasa tercabar tetapi seperti biasa dia tetap bersabar dengan sindiran dan gurauan itu.
Dia mendaftarkan diri untuk belajar secara lebih serius di sekolah muzik Yamaha di Pontian. Selama tiga bulan dia belajar untuk memetik gitar dengan cara yang betul.
Pun begitu, barangkali memang Salahuddin tiada bakat untuk memetik gitar. Jari-jemarinya masih kekok menari-nari. Mungkin hanya jiwanya saja meminati muzik dan lagu. Dia gagal menjadi seniman.
Akhirnya Salahuddin melupakan hasrat untuk bermain gitar dan hanya menyanyi sekadar menghiburkan hati sendiri.
Salahuddin dan anak muda yang seangkatan dengannya melalui kegilaan zaman rock. Antara kumpulan rock yang digemari Salahuddin ialah Scorpion, Ledzepplin, ACDC, Pink Floyd, dan Black Sabbath.
Pilih pendekatan mesra
Pada 2004, Scorpion dijadual datang ke Malaysia untuk membuat konsert di Stadium Merdeka. Hati anak muda mana yang tidak teruja.
Pun begitu, dalam mesyuarat yang dipengerusi Salahuddin, Dewan Pemuda PAS Pusat memutuskan untuk membuat bantahan.
Hal itu kerana konsert tersebut diadakan pada 13 Sept iaitu sehari selepas umat Islam menyambut peristiwa Isra dan Mikraj.
Dia menghantar nota bantahan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan sebagai pihak berkuasa yang meluluskan permit konsert tersebut.
Seluruh jentera Pemuda PAS di semua peringkat diarahkan menghimpunkan seramai mungkin ahli untuk membuat bantahan pada hari konsert berlangsung.
Salahuddin sendiri mengetuai demonstrasi itu, tetapi dia mengambil pendekatan lunak.
Justeru dia mencadangkan demonstrasi diubah suai dengan lebih mempamerkan imej Pemuda PAS yang ‘berkasih sayang’ dan bukannya anak muda menghunus pedang dan keris meski sekadar replika.
Himpunan bantahan itu menjadi program mengedar risalah dan bertemu sapa peminat Scorpion yang berada di luar stadium saja.
Biasanya himpunan bantahan diisi dengan pidato berapi-api, doa wehdah dan dihiasi sepanduk atau poster.
Namun Salahuddin dan pemimpin Pemuda PAS memilih untuk bermesra dengan peminat Scorpion di pintu masuk stadium.
Kami mengingatkan mereka untuk solat Maghrib terlebih dahulu sebelum ke konsert. Mereka mengangguk-angguk sahaja.
Pada masa itu kami berbaju putih. Begitulah antara pendekatan dakwah Salahuddin semasa mahu menjadikan Pemuda PAS sebagai duta kasih sayang. Peminat Scorpion menyambut baik kedatangan kami walaupun mereka agak pelik.
Kini Salahuddin telah tiada. Perjuangannya untuk membentuk sebuah negara dan pemerintahan yang adil kepada semua diteruskan oleh kami dalam Amanah dan kerajaan perpaduan.
Pilihan raya kecil di Pulai dan Simpang Jeram adalah kesinambungan legasi Salahuddin dalam membawa konsep Rahmatan lil Alamin.
MUHAIMIN SULAM
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.