https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kerangka bimbing dasar luar Malaysia

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Kerangka Dasar Luar Malaysia Baharu yang dilancarkan beliau hari ini, akan membimbing negara ini menjalankan dasar luar melalui beberapa pendekatan baharu.

Perdana Menteri berkata, ia termasuk mengambil bahagian secara aktif dalam perbincangan di pelbagai forum antarabangsa yang Malaysia adalah ahli, selain mempengaruhi proses membuat keputusan pada forum antarabangsa yang Malaysia bukan ahli.

Selain itu, katanya, kerangka itu juga menjadi rujukan untuk membentuk wacana mengenai isu baharu seperti Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) dan konsep ekonomi biru (blue economy).
“Kerangka ini berfungsi sebagai panduan kepada Wisma Putra dan sebagai rujukan utama kepada mereka yang berminat dengan dasar luar Malaysia.

“Ringkasnya, dasar luar ini bermula di ‘rumah’. Jadi, dasar ini tidak boleh berkesan jika ia bercanggah dengan jangkaan dan realiti persekitaran domestik,” katanya berucap melancarkan Kerangka Dasar Luar Malaysia Baharu bertemakan ‘Perubahan Dalam Kesinambungan’ di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; timbalannya, Datuk Marzuki Yahya dan anggota Kabinet Kerajaan Persekutuan.
Perdana Menteri berkata, elemen asas dalam Dasar Luar Malaysia Baharu tetap tidak berubah apabila kerajaan mengambil ketetapan meneruskan dasar yang bebas, berprinsip dan pragmatik, berasaskan nilai keamanan, kemanusiaan, keadilan dan kesaksamaan.

Dr Mahathir berkata, Malaysia percaya dalam mengekalkan hubungan mesra dengan semua negara, adalah penting segala pertikaian diselesaikan melalui resolusi secara aman, berdasarkan undang-undang dan norma antarabangsa.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia mempunyai hak menyatakan pendapatnya dan jika perlu, membantah terhadap ketidakadilan, penindasan dan jenayah lain terhadap kemanusiaan yang dilakukan mana-mana negara.

“Malaysia tidak pernah menjauh dari apa yang dipercayai sebagai tanggungjawab dan komitmen kepada kemanusiaan.

“Apa yang berubah adalah cara Malaysia mendekati isu tertentu yang mempengaruhi minat kita,” katanya.

Dr Mahathir berkata, kerangka itu dihasilkan melalui kajian dan penilaian menyeluruh serta komprehensif termasuk rundingan dengan pelbagai pihak.

Beliau berkata, multilateralisme kini dalam ancaman apabila negara yang kuat secara unilateral memaksa orang lain terhadap kehendak mereka dan Malaysia sangat mengambil berat perkembangan itu.

“Kita juga melihat ada negara secara terang-terangan melanggar perjanjian antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Perkembangan di Palestin dan Jammu - Kashmir adalah beberapa contoh.

“Trend yang sama boleh dilihat pada perdagangan dan bidang ekonomi. Terdapat negara kuat yang mengenakan sekatan unilateral, tidak menghormati perjanjian perdagangan dan dengan jelas mengabaikan rangka kerja multilateral.

“Sekatan ini tidak hanya memberi kesan kepada negara tertentu, malah negara lain. Tiada ekuiti di sini, yang kaya dan berkuasa akan mengambil apa yang mereka kehendaki tetapi yang miskin dan lemah akan menghasilkan apa yang mereka perlu.

“Malaysia akan mengemukakan apa yang perlu tetapi ia akan menjadi protes terbuka,” katanya.
Elemen ketara pada Kerangka Dasar Luar Malaysia Baharu adalah peralihan dari pembentukan dasar luar berasaskan ‘state-centric’ (berasaskan kehendak kerajaan) kepada satu bentuk dasar luar ‘people-centric’ (berasaskan kehendak rakyat atau berciri merakyatkan).

Ia disediakan melalui proses perundingan membabitkan pelbagai pihak kepentingan termasuk menteri Kabinet, pemimpin Pakatan Harapan (PH), pegawai kanan Wisma Putra, Ahli Parlimen, ahli akademik, diplomat, usahawan dan wakil korporat, ahli profesional dan anggota masyarakat termasuk belia.

Pada sidang Dewan Rakyat Oktober tahun lalu, Saifuddin membawa usul ucapan Perdana Menteri pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) ke-73 sebagai kerangka asas dasar luar Malaysia.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.