https://critoxium.com/shop/

Terkini

‘Segalanya tentang nombor’, kerajaan boleh terbentuk walau keputusan PRU15 tergantung

 


PETALING JAYA: Kerajaan Pusat boleh dibentuk meskipun keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tergantung dengan tiada mana-mana parti meraih majoriti mudah atau sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen.

Hal ini kerana pembentukan kerajaan menerusi pelantikan Perdana Menteri adalah berdasarkan jumlah sokongan wakil rakyat yang memenangi pilihan raya dan bukanlah ditentukan parti bertanding.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Noorfajri Ismail berkata, walaupun Perlembagaan Persekutuan tidak menyentuh lebih terperinci maksud majoriti mudah, secara konvensional sejak dahulu mengambil konsep ‘segalanya tentang nombor’ dan keperluan menyakinkan Agong bahawa seorang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Katanya, perkara itu berdasarkan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menjelaskan Seri Paduka hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri mempengerusikan Jemaah Menteri dalam kalangan ahli Dewan Rakyat pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Namun konvensional sejak dahulu, parti dan gabungan parti akan mencadangkan calon Perdana Menteri kepada Agong namun keadaan telah berubah selepas Pilihan Raya Ke-14 apabila tiada parti mendapat majoriti mudah.

“Justeru jika tiada parti menang majoriti mudah, ahli-ahli Dewan Rakyat yang memenangi PRU15 hendaklah terlebih dahulu menyakinkan Yang di-Pertuan Agong bagi menyokong seseorang calon dalam kalangan mereka menjadi Perdana Menteri sekali gus mencapai ke arah pembentukan kerajaan. 

“Pelantikan Perdana Menteri adalah budi bicara Agong tetapi perlulah mengambil kira Perkara 43 (2)(a). Ini bermaksud Agong perlu diyakinkan bahawa seorang calon Perdana Menteri mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat dan diperkenan Seri Paduka sendiri,” katanya.

Sebelum ini, veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li meramalkan parti politik yang bertanding pada PRU15 kali ini dilihat sukar untuk mendapat majoriti mudah sekali gus membentuk kerajaan dengan tempias itu turut dirasai oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang sedang berdepan dengan pelbagai masalah ketika ini.

Ketika ditanya mengenai keperluan memeterai Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA), Noorfajri berkata, perkara itu tidak mengikat pembentukan kerajaan dan hanya berperanan terhadap kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) dan belanjawan di Dewan Rakyat kelak.

“Sokongan Perdana Menteri dan menandatangani CSA adalah dua perkara lain, seperti amalan negara luar seperti Kanada dan Australia yang memeterai CSA oleh kerajaan minoriti bagi menjamin keutuhan dan kestabilan negara bagi mengelakkan usul undang-undang dan pembekalan ditolak Parlimen,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, sebarang jajaran atau kerjasama politik baharu untuk menubuhkan kerajaan bergantung kepada keputusan PRU15 dan masih terlalu awal untuk diperdebat kerana ada parti yang dilihat mahu bertanding solo.

Namun katanya, jajaran politik baharu boleh berlaku selepas keputusan PRU15 apabila diramalkan parti politik bertanding pada kali ini dilihat sukar untuk mendapat majoriti mudah dan membentuk kerajaan ekoran pertembungan lebih empat penjuru.

“Pelantikan Perdana Menteri daripada parti kecil bukan satu perkara baharu di Malaysia kerana sebelum ini pernah menyaksikan tiga pemimpin dilantik bukan daripada parti dominan namun mereka disokong Ahli Dewan Rakyat,” ujar beliau.

Sementara itu, pakar Perlembagaan dari Universiti Malaysia Pahang (UMP), Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, berkata, parti-parti politik tidak semestinya bergabung untuk membentuk kerajaan Pusat namun mereka boleh bersetuju menamakan seorang calon Perdana Menteri.

Katanya, perkara itu berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan Yang di-Pertuan Agong memutuskan siapa Perdana Menteri berdasarkan pada hemat baginda seorang yang kemungkinan dapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Sekiranya mereka bergabung sekalipun membentuk kerajaan, ia boleh dengan syarat tidak melompat parti memandangkan kita baru sahaja meluluskan RUU Anti Lompat Parti yang memperuntukkan pilihan raya perlu diadakan jika kekosongan berlaku jika ada wakil rakyat menyertai parti lain,” katanya. –

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.