PULAU Pinang patut menjadi pusat usaha memperbetulkan pemikiran
melampau dalam kalangan umat Islam, kata pegawai penerangan kerajaan
negeri yang baru dilantik, Wan Ji Wan Hussin.
Pendakwah muda itu percaya semakin kerajaan DAP yang mentadbir Pulau
Pinang diserang oleh kelompok Melayu dan Islam yang berfikiran sempit,
bertambah-tambahlah sesuainya ia menjadi pusat pembaharuan pemikiran
itu.
Katanya, atas kedudukan itulah antara sebab kenapa Pulau Pinang yang
diangggap sebagai sebuah negeri yang dikuasai oleh kaum Cina boleh
menjadi tempat bercambahnya gerakan memperbaiki kerosakan yang dilakukan
terhadap agama Islam itu sendiri.
"Islam boleh berkembang di Pulau Pinang dengan hujahan, dan bukannya dengan kekuasaan.
"Inilah yang menjadikan Pulau Pinang tempat yang sesuai untuk
memerangi idea melampau dan keganasan, yang sudah mempengaruhi pemikiran
umat Islam.
"Saya berhasrat mahu menubuhkan sebuah institusi yang membanteras
ekstremisme dan sebuah lagi institusi untuk maqasid syariah di Pulau
Pinang," katanya dalam satu wawancara di
Komtar.
Wan Ji mengingatkan negeri yang ditadbir oleh DAP itu memberi ruang
kepada Islam berkembang dan menghalang orang daripada aliran yang
berbeza berbincang tentang agama.
Tetapi sebagai satu-satunya parti yang didominasi oleh etnik Cina
dalam gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH), biarpun ia giat
berkempen menarik penyertaan orang Melayu sebagai ahli, parti ideologi
demokrat sosial itu terus dituduh anti Melayu dan cauvinis Cina.
Islam untuk semua
Wan Ji yang mengangkat sumpah jawatannya pada Khamis lalu berkata
beliau berhasrat menonjolkan agenda Islam yang memberi manfaat kepada
anak semua bangsa, dan bukan hanya orang Melayu di Pulau Pinang.
Katanya, beliau percaya urusan agama jadi begitu bermasalah di negara
ini kerana ia dicampur aduk dengan identiti kaum, sehingga orang Melayu
melihat orang bukan Melayu dan bukan Islam sebagai "orang lain".
"Saya sedang mengusahakan sebuah artikel mengenai 'aparteid
bersyariah" apabila orang mendiskriminasi berdasarkan agama. Kita ada
sindrom ini dalam kalangan orang Islam di Malaysia, menggunakan syarikat
sebagai alasan untuk mewujudkan kasta.
"Pada masa lalu, semua kaum boleh makan dan minum bersama di kedai
kopi Cina. Di Sabah masih ada tetapi di Semenanjung sudah jarang,"
katanya.
"Masyarakat kita sudah jadi terlalu prejudis antara satu sama lain, malah antara sesama orang Islam kerana politik.
"Kita tidak perlu petik al-Quran, tetapi kalau kita menonjolkan
kedamaian dan keadilan, kita sudah melakukan sesuatu yang bersifat
Islam.
Wan Ji mengingatkan sejarah Pulau Pinang yang pernah ada tokoh-tokoh
Islam progresif seperti penulis dan reformis Syed Sheikh Syed Ahmad
Al-Hadi.
Beliau yang lebih terkenal sebagai Syed Sheikh Al-Hadi berpindah dari
Melaka ke Pulau Pinang untuk memajukan kerjaya dalam sastera dan
kewartawanan, dan mengembangkan pendidikan Islam.
Beliau mengasaskan Madrasah Al-Mashhoor yang terkenal kerana mengajar
subjek bukan agama Islam dalam bahasa Inggeris serta menggalakkan
pemikiran pembaharu.
"Jadi kalau musuh PH menjadi Pulau Pinang sebagai sasaran serangannya
menggunakan agama, maka Pulau Pinang adalah tempat terbaik untuk kita
mulakan usaha memperbaiki kerosakan itu," kata Wan Ji.
DAP mesra Islam
Sebagai pegawai penerangan, tugas Wan Ji ialah membetulkan
kepercayaan bahawa DAP itu anti Melayu dan anti Islam — tuduhan yang
selalu dilemparkan oleh musuh politiknya. Beliau juga bertanggungjawab
menjelaskan dasar-dasar kerajaan Pulau Pinang bersabit Islam kepada
orang Melayu.
Wan Ji yang juga ketua biro agama Pemuda PKR berkata beliau menerima
arahan daripada parti untuk ke Pulau Pinang bagi membantu kerajaan
negeri PH.
"Saya diarahkan oleh naib presiden parti, Nurul Izzah Anwar untuk
datang ke Pulau Pinang. Arahan itu datang daripada yang lebih atas,
daripada (pemimpin de facto parti) Anwar Ibrahim.
"Saya diminta untuk membawa agenda Islam ke Pulau Pinang. Ini sesuatu
yang besar bagi PKR. Anwar melihat nilai-nilai Islam sebagai satu
keutamaan.
"Satu lagi sebabnya ialah DAP ini sudah jadi karung tinju kepada
musuh politik PH yang asyik menghentam pakatan ini dengan isu-isu
agama," kata lulusan Al-Azhar ini yang kini sedang membuat kajian di
Universiti Malaysia Kelantan mengenai keganasan dalam Islam. Lim Guan Eng dan Islam
Menurut Wan Ji, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang juga
setiausaha agung DAP, tidak pernah ada masalah dengan orang Melayu atau
Islam, walaupun beliau dituduh macam-macam.
"Beliau berminat hadir ke majlis-majlis Islam dan Melayu tetapi penentang beliau tidak benarkan," katanya.
Jelas Wan Ji, di bawah kepimpinan Lim, sejak pembangkang mengambil
alih kerajaan Pulau Pinang, ia telah membelanjakan RM457.05 juta untuk
pembangunan Islam, berbanding RM249.09 yang dibelanjakan oleh Barisan
Nasiional (BN) antara 1999 hingga 2007.
Untuk pendidikan, kerajaan PH membelanjakan RM57.64 juta bagi sekolah agama. BN hanya RM20.11 juta antara 1999 hingga 2007.
Bantuan kepada guru agama pula mencecah RM15.55 juta.
Dari segi pembangunan ekonomi pula, pinjaman mikro yang diagihkan
berjumlah RM11.17 diterima oleh 2,540 peminjam, yang 83% daripadanya
orang Melayu.
Angka-angka itu saja menunjukkan kerajaan Pulau Pinang di bawah DAP tidak pernah mengabaikan Islam, kata Wan Ji.
"Barangkali kelemahan kerajaan Pulau Pinang ialah mengeluarkan idea
dan mengembang dan membesarkan institusi Islam sedia ada," katanya,
merujuk kepada beberapa yayasan dan majlis yang tidak aktif.
"Secara peribadi, saya rasa dengan idea dan orang yang betul, Pulau
Pinang menyaksikan pertumbuhan Islam yang lebih baik berbanding negeri
lain termasuk Selangor. Pulau Pinang tidak sekat orang daripada aliran
yang berbeza untuk berbincang tentang agama."
Wan Ji sendiri pernah berdepan masalah dengan Jabatan Agama Islam
Selangor (Jais) ketika jadi AJK Dewan Ulama PAS Selangor dan kemudian
apabila ditahan kerana didakwa mengadakan usrah di sebuah surau di
Petaling Jaya.
Beliau juga pernah ditahan kerana pada Februari 2015 kerana mengajar tanpa tauliah di sebuah surau di Shah Alam.
Menurut Wan Ji, walaupun kempen propaganda Umno dan PAS mempengaruhi
sentimen orang Melayu di Pulau Pinang tetapi secara umumnya orang Melayu
gembira dengan kerajaan negeri.
Katanya, Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail yang berjumpa dengan
guru sekolah agama rakyat dalam satu majlis minggu lalu mendengar
sendiri pujian guru-guru agama itu tentang bagaimana kerajaan PH berbeza
dengan kerajaan BN, dan lebih baik.
Wan Ji menceritakan pengalamannya mendengar seorang ahli PAS yang
kagum dengan kerja pantas Lim menyelesaikan isu tanah perkuburan Islam
di Permatang Pauh.
"Saya pergi masjid dan dengar orang puji Guan Eng kerana dia
selesaikan isu tanah kubur di Seberang Jaya yang penuh dan perlu tanah
baru.
"Kerajaan negeri beri sebidang tanah dekat masjid Bandar Perda dan
kelulusan tanah itu diberikan segera. Seorang ahli PAS, yang
mengendalikan isu itu, memujinya walaupun dia bukan minat dengan Guan
Eng."
Wan Ji mahu perbaiki imej Islam di Pulau Pinang
Reviewed by DetikDaily
on
Oktober 02, 2017
Rating: 5
Sebarang kemusykilan,cadangan,teguran,kritikan dan sumbangan artikel srta pertanyaan boleh hubungi pihak kami di Email :denyutreformasi@gmail.com
Jumlah Paparan Halaman
2488463
PERINGATAN : Apa jua yang disiar dalam web/blog ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan web denyutan Reformasi.Kami tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat
Post Comment
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.