MEDIA arus perdana hanya boleh menyalahkan diri mereka sendiri kerana
kehilangan pembaca dan kepercayaan rakyat kerana pendirian pro Barisan
Nasional (BN) mereka telah memusnahkan kewibawaan mereka, kata seorang
pakar media.
Internet juga menyumbang kepada situasi ini ketika semakin ramai
rakyat Malaysia berhijrah kepada portal berita dalam talian dan
pandangan yang selama ini dipinggirkan atau ditindas dalam akhbar,
saluran telivisyen percuma dan radio.
Walaupun pengarang di saluran media arus perdana mengatakan pendirian
kepengarangan mereka disebabkan wujudnya undang-undang ketat yang
mengawalselia permit dan lesen mereka, pemerhati mengatakan ia bukanlah
kisah penuh mengapa mereka mengambil pendirian sebegitu.
Banyak saluran media arus perdana ini diterajui oleh pengarang yang
sebenarnya percaya dan menyokong perjuangan BN dan kerana itu kandungan
media mereka digubah untuk menepati kepercayaan itu, kata wartawan
veteran Wan Hamidi Hamid.
Walaupun media arus perdana kehilangan ramai pembaca dan semakin
ramai orang mengikuti berita dalam talian, pakar media seperti Dr
Mustafa Kamal Anuar bimbang yang ini mungkin menyebabkan BN mula
mengawal kandungan laman sesawang- tindakan yang melanggar janji
kerajaan dibuat pada 1990-an untuk tidak menapis internet.
“Nampaknya wujud kecenderungan pada kerajaan BN sekarang untuk
mendaftar dan mengawal penerbitan dalam talian, tindakan (yang sekiranya
berlaku) adalah tindakan menekan dilakukan mereka.
“Ia adalah idea yang salah untuk membantu kejatuhan (pembaca dan
edaran) MSM (media arus perdana),” kata Mustafa dari Penang Institute.
Kejatuhan pembaca
Pada Jumaat, orang lama industri akhbar, Abdul Jalil Ali berkata
pentadbiran BN kehilangan pengaruh dalam kalangan pengundi melalui
akhbar utama yang dikawalnya disebabkan penuruan edaran.
Media arus perdana yang lemah dengan jumlah pembaca yang rendah
adalah berita buruk kepada pakatan pemerintah apatah lagi Pilihan Raya
Umum Ke-14 (PRU14) semakin menghampiri, kata Abdul Jalil yang merupakan
penasihat eksekutif pengarah Kumpulan Media KarangKraf.
KarangKraf adalah salah sebuah penerbit terbesar majalah dan buku Bahasa Malaysia serta pemilik akhbar Sinar Harian.
Menurut data dikeluarkan Biro Audit Pengedaran Malaysia (ABC), semua
akhbar arus perdana mengalami kejatuhan edaran pada 2016 berbanding
2012.
Harian Metro jatuh paling teruk iaitu sebanyak 62.5% daripada 379,169
naskah kepada 142,262. New Straits Times pula berada di kedudukan kedua
kejatuhan terburuk, dengan edaran jatuh sebanyak 41.6% daripada 93,321
naskah pada penghujung tahun 2012 kepada 54,490 naskah pada hujung tahun
lepas.
Akhbar media arus perdana utama berbahasa Malaysia, Utusan Malaysia
dan Berita Harian pula mengalami kejatuhan edaran sebanyak 30% dalam
tempoh yang sama.
Tetapi, untuk berlaku adil, penurunan edaran dan kehilangan pembaca
akhbar adalah fenomena berlaku di seluruh dunia, kata Wan Hamidi seorang
wartawan veteran dengan pengalaman media 20 tahun.
“Selain peningkatan kos cetakan, edaran juga jatuh kerana orang lebih banyak bergantung kepada internet.”
Tetapi apa yang memburukkan lagi kejatuhan akhbar di Malaysia adalah
kerana krisis kepercayaan yang semakin melebar sejak zaman reformasi,
kata Prof Zaharom Nain dari Nottingham University Malaysia.
“Saya percaya, internet dan Anwar (pemenjaraan bekas Timbalan Perdana
Menteri Anwar Ibrahim) memainkan peranan penting dalam mengubah
persepsi rakyat kepada MSM,” kata Zaharom yang merupakan profesor dalam
bidang media dan komunikasi.
Penyebaran berita internet sejak pertengahan 1990-an yang membuka
ruang baru maklumat serta berita, ditambah dengan propaganda
terang-terangan dilakukan MSM yang merupakan penghinaan kepada intelek
ramai rakyat Malaysia menyumbang kepada kejatuhan ini.
Ruang yang semakin tertutup
Wan Hamidi berkata bekas Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi cuba
membebaskan ruang perbezaan pendapat dalam media arus perdana.
“Ada kebebasan yang diperlihatkan dalam media semasa eranya tetapi
itu hanyalah kerana ia lebih terbuka berbanding zaman Dr Mahathir
Mohamad.
“Tetapi di penghujung era pentadbiran Pak Lah, ia kembali kepada
‘kerajaan lebih tahu’,” kata Wan Hamidi yang pernah bekerja di NST, The
Star, The Sun dan Berita Harian.
Walaupun ada pengarang kanan dan wartawan yang cuba memperjuangkang
lebih kebebasan dalam akhbar, usaha ini tidak menerima sambutan, kata
Wan Hamidi.
Kawalan diperketatkan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Najib
Razak. Pentadbirannya
menyaksikan lesen percetakan untuk The Heat dan
The Edge Financial Weekly digantung kerana
kandungan yang mengkritik
perdana menteri dan pentadbirannya.
Wibawa media arus perdana hancur kerana pendirian pro BN mereka
Reviewed by DetikDaily
on
Oktober 01, 2017
Rating: 5
Sebarang kemusykilan,cadangan,teguran,kritikan dan sumbangan artikel srta pertanyaan boleh hubungi pihak kami di Email :denyutreformasi@gmail.com
Jumlah Paparan Halaman
2489881
PERINGATAN : Apa jua yang disiar dalam web/blog ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan web denyutan Reformasi.Kami tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat
Post Comment
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.