https://critoxium.com/shop/

Terkini

Wisma Tok Guru ibarat mengail di laut dalam

Oleh: Rossem

Rakyat Malaysia yang memiliki banyak tanah, tak kira dari mana sumber ia perolehi samada harta pusaka atau membelinya sendiri tak terlepas dari masalah berkaitan dengan tanah. Kelmarin saya ke rumah anak saudara di pinggir Kota Bharu memenuhi undangan majlis kenduri sambut menantu.

Lokasi rumahanya di tepi jalan raya, dari dalam kereta boleh tampak jelas bumbung rumahnya.

Sebaik sampai ke situ- terkejut, jalan kecil laluan kereta menuju rumahnya sudah tiada, dipagari orang. Segera menelefon, diberitahu, harus maju beberapa meter ke hadapan dan bertemu simpang, dari simpang belok ke kiri terus ke rumah. Saya mengikuti jalan itu, mudah, kerana ramai undangan ke rumahnya, tetapi agak ganjil memasuki rumah dari arah belakang (dapur).

Rupanya jalan yang gunapakai sebelum ini tanah kepunyaan jirannya, dahulu diberi izin secara lisan. Sesudah tuan tanah meninggal dunia, tanah itu menjadi tanah pusaka kepada anak-anak almarhum. Mereka kemudian tak mengizinkan tanah itu dijadikan jalan laluan ke rumah anak saudara saya, lalu dipagari. Terpaksa anak saudara saya mencari jalan alternatif. Walhal semasa hayat tuan tanah pernah memberi izin.

Seorang lagi dari kalangan keluarga saya menghadapi masalah berkaitan dengan tanah. Dua puluh tahun dahulu beliau membeli sebidang tanah di pinggir jalan raya utama Kota Bharu- Pasir Puteh. Di atas tanah itu kemudiannya dibangunkan deratan rumah kedai. Di sela-sela deratan rumah kedai dua tingkat itu terdapat sebuah rumah usang, kumuh, dibuat dari kayu. sehingga mecacatkan mata memandang. Saya bertanya “Kenapa tak dirobohkan sahaja rumah itu?” Kata keluarga saya “ Satu keluarga tinggal di rumah itu sejak puluhan tahun, beranak bercucu, bercicit diberi izin oleh tuan tanah asal sebelum menjualkannya kepada saya. Keluarga itu tak mahu pindah. Malah meminta dibayar ganti rugi dengan menyediakan sebidang tanah untuknya, justeru saya tak boleh buat apa-apa.
Tunggu sampai reput sendiri”

Individu yang menduduki tanah kepunyaan orang lain berlaku di mana-mana di Malaysia, samada kerana penjanjian lesan telah dibuat dengan pemilik asal atau menumpang sementara tanpa ada perjanjian hak masa. Saya juga pernah mengalami pengalaman yang sama, sebidang tanah telah diduduki satu keluarga “susah” dari negara tetangga. Atas dasar kesihan, orangtua saya mengizinkan.

Bila ibu saya kembali ke Rahmatullah, tanah itu menjadi milik saya secara pusaka. Sampai ketika tanah itu mahu digunakan. Keluarga itu akhirnya berpindah tetapi dengan muka masam.

Dua contoh itu untuk dijadikan perbandingan dengan apa yang berlaku sekarang kepada tanah yang menempatkan Wisma Tok Guru, Salor, dalam Parlimen Kubang Kerian, Kelantan. Tanah itu kini menjadi rebutan antara antara dua parti iaitu PAS dan Amanah.

Dahulu tanah berserta bangunannya digunakan sebagai markas PAS bagi DUN Salor. Dato Haji Husam Musa selaku ADUN PAS Salor ketika itu berkuasa ke atas tanah dan bangunan itu. Setelah Husam Musa menyertai Amanah, Husam Musa menukar menjadi markas parti Amanah dan dinamakan Wisma Tok Guru. Menjadi kecoh setelah diketahui PAS melalui Setiausaha Kerja Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Yasin Yusof membeli tanah itu dua minggu lepas dengan harga RM700 ribu.


Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dato Nasarudin Haji Daud mendakwa tanah itu kepunyaan Kerajaan Negeri. Dakwaan itu ternyata meleset kerana selepas itu tuan tanah sebenar iaitu Dato Rosli Ibrahim menyanggah dengan mengakui tanah itu adalah kepunyaan beliau atas nama isterinya Haripah binti Dolah. “Isteri saya itu namanya “Pah”, benarlah tanah Pah tetapi bukan PAS” kata Rosli Ibrahim secara sinis dalam satu ceramah parti Amanah di Wisma Tok Guru. Menurut Dato Husam Musa, Dato Rosli memberi izin parti Amanah menggunakan tanah dan bangunan itu sampai bila-bila (tanpa hak masa), bukan sahaja secara lisan bahkan ada suratnya. Rosli Ibrahim mantan Wakil Rakyat Semangat 46, menyertai PAS, kemudian Amanah sudah kembali ke Ramatullah dua bulan lalu. Maka tanah itu secara mutlak menjadi hak milik isterinya kerana dalam geran tanah tercatat nama Haripah binti Dolah sebagai tuan punya.

Haripah binti Dolah sebagai tuan tanah berhak menjual tanah miliknya kepada sesiapa sahaja ia suka.

Dalam kes ini ia suka kepada PAS, maka berlakulah jual beli dengan PAS. Amanah berputih mata.

Tetapi masalah berkaitan tanah ini rumit terutama bila dibawa ke mahkamah. Amanah Kelantan kata, mereka mampu mempertahankan Wisma Tok Guru itu berdasarkan prinsip ekuiti yang diamalkan di Malaysia. Amanah bukanlah menduduki Wisma Tok Guru seperti setinggan. Bahkan jika ia setinggan sekalipun, tuan punya tidak berhak untuk menghalaunya melainkan dengan mendapat perintah Mahkamah terlebih dahulu. Inikan pula Amanah telah menduduki tanah itu dengan kebenaran pemilik asal.

“ Jika pembeli mendapati hartanah itu didiami oleh orang lain, maka sebelum baki wang pembelian dibayar sepenuhnya penjual perlu memastikan tanah itu benar-benar kosong dan tiada isu-isu yang masih tergantung di mahkamah”. Kata peguam Amanah.

Wisma Tok Guru yang menjadi kontroversi ini tidak upaya diselesaikan di pentas-pentas ceramah parti, justeru mahkamah adalah sebaik-baik jalan penyelesaian. Biarlah peguam-peguam kedua-dua belah pihak berentap. Hentikan tuding menuding. Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Dato Che Abdullah Mat Nawi cabar Dato Husam Musa, tunjukkan bukti , mana wang diperolehi untuk membina Wisma Tok Guru. Husam Musa pula cabar Che Abdullah Mat Nawi, mana sumber kewangan yang diperolehi untuk membina banguan PAS Wakaf Baru. Tak usah cakap banyak, rahsiamu dalam poket bajuku, rahsiaku dalam poket baju mu, kerana dulu kita pernah tidur sekelambu. Wisma Tok Guru ibarat orang mengail di laut dalam, sukar tetapi kalau untung, untungnya berganda.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.