https://critoxium.com/shop/

Terkini

Solusi menuju Malaysia Sejahtera

Oleh ABDUL HADI AWANG

KEPADA seluruh rakyat masyarakat majmuk khususnya penganut Islam, perlu memahami. Kalangan bukan Islam pula perlu menyedari hakikat apa yang termaktub di dalam perlembagaan persekutuan. Islam adalah agama persekutuan seperti yang ditulis dalam perlembagaan.

Apa yang diperjuangkan oleh PAS ialah untuk merealisasikan secara objektif daripada Islam itu dengan makna yang menyeluruh. Aspek politik, pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan lain-lain.

Politik

Dalam aspek politik. Khusus bagi umat Islam, perlu menyedari bahawa hukum politik sebahagian daripada syariat Islam yang diamalkan sepanjang zaman sejak Nabi Adam, Nabi-nabi selepasnya dan berakhir dengan Nabi Muhammad S.A.W.

Perjuangannya membawa Islam bukan sekadar untuk menyelamatkan individu. Termasuklah menyelamatkan negara supaya pemimpin-pemimpin negara menyedari bahawa tanggungjawab mereka adalah kewajipan agama yang ada perhitungan dosa dan pahala.

Mengikut ruang yang luas yang diizin oleh Allah S.W.T dalam perkara yang tidak mungkin diselesaikan oleh akal manusia: Sempadan halal dan haram, mengatasi masalah-masalah kemungkaran, menegakkan kebajikan. Perkara asas. Maka dinaskan dalam kitab Allah sejak dahulu sehingga Nabi Muhammad S.A.W.

Adil adalah hukum yang wajib. Bukan sahaja menjadi sifat yang wajib bagi Allah S.W.T. Allah mewajibkan pemerintah melaksanakan keadilan terhadap rakyat seluruhnya sebagaimana Allah adil terhadap seluruh hamba-Nya sama ada yang Islam dan bukan Islam. Mesti dikaitkan urusan mengurus negara yang adil ini dengan adanya hisab di hadapan Allah S.W.T yang ada perhitungan dosa dan pahala.

PAS menerima konsep demokrasi. Hak rakyat untuk besuara, untuk menegur, untuk mengkritik, untuk memilih pemimpin. Dalam masa yang sama perlu disedari bahawa manusia adalah makhluk yang lemah. Dalam perkara ketetapan Allah S.W.T yang penuh dengan adil dan rahmat, manusia mesti menerima secara Iman dan Islam tanpa ada persoalan perhitungan lagi.

Inilah aspek politik yang kita mahu perkenalkan tanpa mengikat rakyat secara zalim. Dalam masa yang sama tanpa membebas lepas sehingga tersungkur dalam perkara yang tidak mampu difikirkan oleh mereka.

Perundangan

Dalam aspek perundangan. Islam meletakkan hukum Allah adalah tertinggi. Tidak ada sesiapa yang boleh mengatasi syariat Allah S.W.T termasuk ketua negara. Tetapi mestilah diolah dengan cara yang baik. Menyelamatkan negara dan rakyat. Menjaga hak masing-masing dalam keadaan tidak melampaui batas kepada semua pihak. Hukum syariat Islam jelas dan nyata: Ø¥ِÙ†َّ اللَّÙ‡َ ÙŠَØ£ْÙ…ُرُÙƒُÙ…ْ Ø£َÙ†ْ تُؤَدُّوا الْØ£َÙ…َانَاتِ Ø¥ِÙ„َÙ‰ٰ Ø£َÙ‡ْÙ„ِÙ‡َا ÙˆَØ¥ِØ°َا Ø­َÙƒَÙ…ْتُÙ…ْ بَÙŠْÙ†َ النَّاسِ Ø£َÙ†ْ تَØ­ْÙƒُÙ…ُوا بِالْعَدْÙ„ِ ۚ “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menunaikan amanah, menyerahkan amanah kepada orang yang ahli dapat menunaikannya dan apabila kamu menghukum dalam kalangan manusia hendaklah menghukum dengan adil.” (Surah an-Nisa' ayat 58)

Disebut manusia seluruhnya bukan sahaja yang menganut agama Islam. Dalam sejarah Islam ketika Islam dilaksanakan dengan sepenuhnya, ternyata kalangan orang Islam wajib menerima secara menyerah diri dengan keimanan yang sungguh-sungguh.

Dalam masa yang sama, orang bukan Islam merasai hukum Islam lebih adil daripada pemimpin dan pemerintah agama mereka sendiri. Di sinilah menyebabkan pengaruh Islam berkembang ke dalam masyarakat manusia melalui kisah keadilan yang dilaksanakan oleh pemerintah Islam.

Gembar-gembur yang menakutkan orang ramai terhadap hukum Islam ini sebenarnya tidak ikhlas, bukan kerana sifat hukum itu. Tetapi kerana bimbang orang-orang yang bukan Islam akan menerima hukum Islam, menolak undang-undang manusia.

Kehebatan yang ada dalam Undang-undang Islam mewujudkan keamanan dan ketenteraman. Undang-undangnya mendidik masyarakat, bukan menghukum. Kerana mengikut kaedah perundangan Islam, seorang yang dituduh tidak bersalah sehingga dibuktikan kesalahannya.

Berbeza dengan zaman media fitnah yang sudah menghukum mereka yang dituduh dengan pendekatan menyebarkan maklumat-maklumat yang tidak jelas dan nyata. Seolah-olah media dan rakyat sudah menjadi hakim sebelum dibawa ke hadapan pengadilan.

Ekonomi

Dalam aspek ekonomi. Islam memperkenalkan konsep negara berkebajikan sama ada dalam mengambil hasil dan membelanjakan harta negara. Konsepnya, hasil diambil daripada mereka yang berada. Dalam konsep zakat yang diwajibkan mengikut nisab, orang kaya sahaja.

Maka konsep percukaian terhadap rakyat juga adalah konsep yang sama. Tidak boleh mengenakan cukai terhadap mereka yang tidak berada. Mereka yang berada sahaja dicukaikan dengan kadar yang berpatutan.

Apa yang menarik dalam aspek ekonomi ini, Islam mewajibkan zakat terhadap penganut-penganut Islam yang tak boleh dibatalkan sama ada, ada negara atau tiada negara. Kewajipan ekonomi bermasyarakat mesti dilaksanakan.

Adapun konsep cukai merupakan ijtihad yang boleh dibatalkan terhadap orang yang bukan Islam. Di sini kita menyaksikan pengalaman negara Islam bagaimana rakyat yang bukan Islam di zaman Khalifah Umar Ibnul Khattab R.A ketika wilayah Islam terlalu luas meliputi kawasan empayar Parsi dan Rom.

Banyaknya masyarakat majmuk yang berakhir dengan kalangan bukan Islam menganut Islam. Bukan dipaksa tetapi kerana melihat pembelaan Islam dalam aspek ekonomi. Zaman feudal yang sangat zalim.

Begitu juga dalam aspek hak. Mereka menyaksikan betapa mereka tidak dipaksa dalam beragama menyebabkan mereka lebih rela berada di bawah pemerintahan Islam dalam keadaan tidak menganut Islam. Ini ada dalam catatan sejarah tetapi dinafikan oleh musuh-musuh Islam dalam penulisan-penulisan mereka.

Pendidikan

Dalam aspek pendidikan. Pendidikan adalah keperluan kehidupan manusia. Semua bangsa dan semua kaum. Jalan pendidikan mestilah dengan menggunakan bahasa ibunda masing-masing untuk mengilmukan rakyat masing-masing dengan bahasa ibunda masing-masing.

Adapun untuk memperkasakan ilmu secara menyeluruh dalam negara, mestilah ada bahasa kebangsaan di negara masing-masing.

Di zaman orang Arab menguasai kepimpinan negara. Zaman Rasulullah S.A.W, zaman Khulafa’ ar-Rasyidin, zaman Abbasiyah dan Amawiyyah. Bahasa Arab menjadi bahasa rasmi. Diterjemahkan buku-buku asing dalam bahasa Arab.

Apabila kuasa pemerintahan Islam berada di tangan penganut Islam yang bukan Arab: Turki, Kurdish, termasuk masyarakat Mughal di India yang memerintah. Di masa itu, Islam menerima bahasa masing-masing menjadi bahasa negara. Bahasa Turki pernah jadi bahasa negara, Bahasa Urdu (pernah) jadi bahasa negara, Bahasa Parsi pernah jadi bahasa negara.

Apa yang penting ialah pengaruh tamadun bahasa Islam dalam berbagai-bagai bangsa. Di antaranya ialah huruf al-Quran al-Karim menjadi huruf yang digunakan dalam Bahasa Urdu, Bahasa Parsi dan Bahasa Turki lama.

Quran menjadi mukjizat ilmu. Boleh memancarkan perkembangan ilmu kepada semua bangsa yang menganut Islam tanpa menghapuskan bahasa-bahasa yang digunakan oleh mereka.

Berkebajikan

Wawasan Induk (Negara) dan Sejahtera (WINS 51) adalah memperkenalkan secara objektif, konsep negara berkebajikan yang melibatkan semua pihak. Bukan negara kebajikan sekadar buat kebajikan, menghulur bantuan kewangan duit, bantu mereka yang susah. Tetapi berkebajikan merangkumi seluruh kehidupan negara adalah kebajikan.

Bermula daripada pemimpin-pemimpin rakyat yang memerintah dengan adil adalah kebajikan. Sehinggalah melaksanakan undang-undang yang adil adalah kebajikan. Sehingga membahagi harta-harta negara kepada mereka yang perlu dan berhak adalah kebajikan. Termasuk khidmat-khidmat masyarakat adalah kebajikan.

Inilah penafsiran kebajikan di dalam pemerintahan Islam sehingga kebajikan menjadi tanggungjawab semua pihak di dalam negara. Dengan sebab itu, dapat pembangunan negara yang dibantu oleh rakyat bukan melibatkan kerajaan sahaja. Rakyat yang buat kemudahan asas untuk mereka bagi membantu kerajaan. Sangat menarik. Bukan kerajaan yang memikul bebanan.

Termasuk di antaranya rakyat yang mencari pahala untuk membuat kebajikan; mengadakan rumah-rumah wakaf, hotel-hotel percuma kepada musafir, rumah-rumah kediaman untuk mereka yang tidak berada secara menunaikan kebajikan.

Di sini mengurangkan kos kerajaan dalam mengurus negara bila rakyat menjadi sebahagian daripada jentera kerajaan. Kita menyaksikan bagaimana umat Islam pernah memerintah negara awalnya di Semenanjung Arab; Makkah dan Madinah, yang tiada hasil, tiada sumber hasil bumi.

Dengan pengurusan berkebajikan ini, Islam telah berjaya memerintah negara yang besar dan luas.

Bukan sahaja dapat menyeluruhkan keadilannya bahkan dapat mengembangkan kekayaannya di seluruh pelusuk negara.

Kerajaannya kaya, rakyatnya senang, sehingga bajet lebih daripada keperluan yang sebenar. Zakat ditambah lebih daripada lapan bahagian di zaman khalifah Umar bin Abdul Aziz.

Bantuan-bantuan persaraan bukan sahaja kepada pegawai-pegawai kerajaan, termasuklah rakyat biasa yang sudah tua, yang tak ada kerja, sama ada Islam dan bukan Islam disara hidup oleh kerajaan.

Hal yang semacam itu tak berlaku dalam negara lain. Hanya dalam sejarah Islam di zaman kecemerlangannya. Oleh itu adalah menjadi kewajipan semua pihak untuk mengkaji ajaran Islam dengan cara yang menyeluruh secara mendalam. Bukan melihat telatah-telatah orang Islam pada hari ini yang tidak mengikut ajaran Islam.

Mari kita saksikan dalam senario sejarah, di mana kejatuhan kerajaan Islam apabila orang Islam meninggalkan ajaran Islam. Adapun kejatuhan Komunis, kejatuhan Liberal Kapitalis kerana kelemahan yang ada dalam idealogi mereka sendiri. Di sini adalah satu perbezaan yang ketara.

Walaupun untuk memperkenalkan Islam ini memakan masa yang panjang kerana di dalam Islam ini bukan sahaja perkara yang disyarahkan dengan lisan. Di sana terlalu banyak bukti kebenarannya dilihat bila dilaksanakan.

Maka kita mengharapkan supaya rakyat memberi peluang Islam dilaksanakan dengan sepenuhnya. Tidak cukup kita memerintah kerajaan Negeri Kelantan, (Negeri) Terengganu, memimpin Negeri Kedah. Tidak cukup dalam keadaan bidang kuasa yang sangat terhad. Konsep Federalisma yang diganggu-gugat.

Oleh kerana itu, kita memerlukan sokongan rakyat sehingga PAS dapat menguasai Kerajaan Pusat ataupun mempengaruhi Kerajaan Pusat untuk memperkenalkan Islam dengan makna yang menyeluruh.

Mudah-mudahan Islam menjadi pilihan. Islam menjadi sokongan dan dukungan untuk pilihan raya akan datang. Islam yang menjadi landasan dan matlamat perjuangan parti Islam.

(Teks transkrip dari Ucapan Presiden PAS di Live Facebook Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang semalam yang disediakan oleh Wartawan Kadet HarakahDaily, AISHAH ADILAH ABD HALIM

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.