https://critoxium.com/shop/

Mengapa asyik ‘dibaham’ mercun?

Oleh M. Jasni Majed

DALAM seminggu dua ini, sudah ada beberapa berita tentang mercun di negara kita. Ini termasuklah rampasan yang dilakukan oleh pihak berkuasa ke atas usaha menyeludup mercun dan kes seorang remaja yang nyaris-nyaris cedera kerana mercun.

Di negara ini, sejarah telah menunjukkan pelbagai insiden tentang mercun. Ada yang mati tersangkut atas pokok kerana stor simpanan mercun meletup. Kilang haram buat mercun pernah terbakar dan mengorbankan ramai jiwa.

Apa yang pastinya, seperti tahun-tahun sebelumnya menjelang Aidilfitri, ada-ada sahaja berita mengenai kemalangan dan kecederaan bermain mercun disiarkan di media massa. Bermain mercun dan meriam seolah-olah menjadi satu budaya yang tidak boleh dipisahkan dengan hari raya.

Pada zaman yang serba moden ini, kita pun tidak tahu hantu apa lagi yang hendak dihalau dan ditembak. Kita juga tidak tahu mengapa permainan bahaya ini masih wujud sedangkan kerajaan sudah melarangnya. Di sesetengah tempat, mula sahaja diisytiharkan puasa, maka berdentumlah mercun dan meriam buatan sendiri, seolah-olah menggantikan dentuman meriam perisytiharan puasa zaman dahulu.

Oleh sebab terlalu teruja, silap-silap hari bulan berlaku kecederaan seperti putus jari, lebam sana-sini dan terpaksa pula dihantar rawat di hospital.

Di negara kita, mercun bukanlah benda baharu. Orang dulu-dulu pun bermain mercun dan meriam tetapi jarang pula kita dengar ada yang putus jari dan pecah muka atau lebam sana-sini. Agaknya kerana orang sekarang sudah belajar tinggi-tinggi, maka pandai pula mereka membuat bahan letupan sendiri de­ngan mengubahsuai itu dan ini kemudian berlumba-lumba meriam siapa berdentum kuat dan boleh dengar ke kampung sebelah.

Orang dulu-dulu pun bermain meriam buluh tetapi sekarang bertukar menjadi meriam besi. Maka batang paip pun jadi meriam. Mungkin kerana di sesetengah tempat buluh sudah sukar diperoleh, alternatifnya besi tetapi padahnya tidak difikirkan. Budak-budak sekarang main mercun tidak seperti budak-budak dahulu. Budak-budak sekarang masukkan mercun dalam botol, tin milo dan sebagainya untuk menghasilkan bunyi yang kuat dan sebagainya.

Tugas memantau permainan mercun ini mestilah dipikul oleh pelbagai pihak. Ibu bapa mestilah memantau anak-anak mereka pada musim perayaan agar anak-anak mereka tidak terlibat dengan gejala tidak sihat dan membahayakan ini. Menjadi tanggungjawab ibu bapa memastikan anak-anak mereka tidak terlibat dengan permainan ini kerana kebanyakan anak muda sekarang bermain mercun dan meriam dengan cara yang tidak betul.

Pihak berkuasa juga mestilah meningkatkan kawalan di sempadan negara untuk menyekat kemasukan bahan-bahan terlarang ini supaya tidak sampai ke tangan pembekal, peniaga dan orang ramai. Oleh sebab berniaga mercun ini dikatakan memperoleh keuntungan yang lumayan, maka tidak hairanlah usaha menyeludup bahan terlarang ini dilakukan secara bersungguh-sungguh dan pelbagai cara.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) pula mestilah menjalankan rondaan untuk memastikan permainan mercun dan meriam dapat dihentikan. Ini termasuklah aktiviti penjualan bahan-bahan letupan seperti mercun yang diadakan di tempat-tempat terbuka mestilah dipantau dan dibanteras supaya bekalannya tidak jatuh ke tangan orang ramai.

Oleh itu, berdasarkan kes-kes kecederaan serius yang dialami terutamanya oleh kanak-kanak, maka sewajarnya semua pihak berganding bahu menangani masalah ini supaya perayaan tidak dicemari dengan insiden menyedihkan.

Memanglah Aidilfitri disambut setahun sekali, tetapi janganlah pula kita terpaksa berhari raya bersama anak kita di hospital.










Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.