Tongkat Ali, kacip Fatimah untuk Umno
Oleh Abd Jalil Ali
GENAP sebulan setelah tersungkur teruk pada PRU14, Umno tidak sepatutnya terus meroyan dan menangis sambil hantuk-hantuk kepala ke dinding.
Tangisan dengan air mata darah sekali pun, sudah tidak berguna lagi. Seperti kata pepatah lama, nasi sudah menjadi bubur.
Apa yang penting sekarang, bubur itu perlu ditelan beramai-ramai, jangan dibazirkan sedikit pun. Semoga dengan menelan apa yang tidak diingini barulah timbul keinsafan.
Memang tidak sedap, malah terasa amat pahit. Tetapi terimalah hakikat bahawa parti terbesar orang Melayu itu telah runtuh.
Runtuh, tetapi belum mati, jadi tidak perlu ditalkinkan. Malah tidak perlu pun dicarikan batu nisan sebagai kenangan sejarah.
Hakikatnya ialah parti yang berusia 72 tahun dengan keahlian lebih 3 juta itu masih hidup. Memang nafasnya sesak, tetapi belum nazak, maka tidak perlu dibacakan Surah Yasin.
Sebaliknya sesuatu perlu dilakukan untuk memulihkan nafasnya. Bagaikan tubuh yang baru kebah sakit, parti itu memerlukan rawatan menyeluruh.
Tulang dan sendi yang lenguh, perlu suntikan vitamin. Urat-urat yang lesu, berikan herba tongkat Ali. Mana-mana yang kendur, carikan kacip Fatimah.
Tidak guna mengeluh sambil menyalahkan orang lin; tidak perlu juga mencari bomoh ilmu hitam untuk menghancurkan pihak lawan.
Sebaliknya kaji secara terperinci dan penuh keinsafan segala kesilapan masa lalu. Bertindak dari kealpaan lalu untuk membina dan memperkukuh kembali Umno baharu.
Inilah tugas sisa-sisa ahli-ahli parti yang masih ada. Jangan asyik-asyik hendak mengendeng parti lain. Perjuangan dalam parti Melayu itu perlu diteruskan.
Dulu mungkin tahu, tapi buat-buat tidak tahu @ takut. Tetapi sekarang semua tahu dan mengakui bahawa salah satu sebab parti berkeris itu ditolak ialah isu 1MDB.
Ketua Pemuda, Khairy Jamalud-din sendiri mengakui parti itu tumbang kerana kegagalan menteri terdahulu menegur Presidennya yang juga bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengenai skandal 1MDB.
Sebenarnya ada beberapa orang yang berani menegur isu tersebut tetapi akhirnya diketepikan dan disingkir dari parti, termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Afdal.
Sekarang sekiranya masih ada mana-mana pemimpin atau ahli parti yang hendak mempertahan dan melindungi skandal mega itu, mesti orang itu sama ada sewel atau terkena penangkal ilmu teluh.
Apa pun 1MDB hanyalah salah satu dari sekian banyak kepincangan atau penyakit yang menyebabkan orang meluat dan menolak keris sehingga mencetuskan tsunami.
Beberapa penyakit ini patut difikirkan dan dan dihapuskan terus sekiranya ada kesungguhan untuk menegakkan semula keris yang bengkok, tumpul dan tidak berbisa:
Pertama, buangkan sifat terlalu kebendaan dalam kalangan ahli parti. Sifat inilah yang mendorong kepada politik wang, rasuah, salah guna kuasa, kaki balon, kaki tibai.
Selama ini parti itu mengandaikan wang adalah kuasa, wang adalah raja, wang adalah segala-galanya. Terbukti sudah duit tidak dapat membeli jiwa rakyat.
Kedua, nyahkan budaya samseng. Mentang-mentang berkuasa ramai pemimpin parti yang berlagak sombong, menggertak dan mengancam mana-mana pihak yang tidak sejalan dengannya.
Ternyata kekasaran @ samseng dan kesombongan itu ditolak dengan lembut dan senyap menerusi undi. Ada samseng yang kecut perut dan melarikan diri.
Ketiga, jangan biadab. Tidak kira setinggi mana kuasa, sehebat mana kedudukan, orang Melayu – juga orang Malaysia kini – tidak suka perangai kurang ajar yang ditunjukkan oleh ramai pemimpin parti.
Buang semua yang busuk-busuk itu, ramai yang yakin parti terbesar Melayu lagi berkeris itu masih boleh dibaik pulih.
Sebusuk-busuk pun, Umno masih satu-satunya parti yang mendapat kerusi terbanyak – 56 – pada PRU14. Ertinya bukanlah ditolak langsung. Di sebalik perangai-perangai yang menyakitkan hati, masih ada yang sayang.
Seperti diketahui hujung bulan ini ada pemilihan parti. Rata-rata bersetuju supaya setiap jawatan dipertandingkan, termasuk presiden. Ini sesuatu yang amat positif.
Setakat semalam beberapa nama besar telah pun menawarkan diri untuk bertanding berbagai-bagai jawatan. Jangan takut atau waswas walaupun untuk bertanding jawatan No. 1.
Siapa sahaja memang boleh bertanding untuk apa-apa jawatan pun. Terpulang pada perwakilan untuk memilih yang betul-betul terbaik demi kesinambungan parti.
Sekiranya atas apa-apa sebab pun yang dipilih masih calon-calon yang telah dilihat dan dikenal sebagai kaki busuk @haprak, maka Umno sengaja menggali kuburnya sendiri. Carikanlah tukang baca talkin!

Post Comment
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.