https://critoxium.com/shop/

Terkini

Peluang penduduk Kampung Baru bergelar OKKB

 Oleh Azis Ngah

ESOK mungkin ada pemilik tanah Kampung Baru bertukar status kepada ‘OKKB’. Itu kata beberapa anak jati kampung tradisi berkenaan, ketika penulis berbual dengan mereka, kelmarin. Penulis terdiam, apa itu OKKB? “Orang Kaya Kampung Baru (OKKB),” kata mereka sambil tergelak.

Ya, mereka tidak sabar menunggu detik pengumuman pelan baharu membangunkan kawasan segitiga emas itu. Paling ditunggu berapa jumlah tawaran bakal dikemukakan kerajaan untuk membeli tanah mereka bagi tujuan pembangunan semula, selepas sekian lama tergendala akibat dibelenggu pelbagai isu.

Mereka dijemput menghadiri sesi ‘town hall’ bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Dijangka majoriti daripada 4,800 waris serta pemilik 1,350 tanah lot di Kampung Baru akan hadir.
Pada 2014, satu pelan induk pembangunan Kampung Baru dibentang, tetapi proses pelaksanaannya dikatakan sangat perlahan. Jadi, pelan itu dirombak selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah.

Kini, pelan baharu akan dibentang, membabitkan perancangan ke atas 300 ekar (121.4 hektar) tanah, termasuk 80 ekar (32.37 hektar) di luar pentadbiran Lembaga Tanah Pertanian Melayu (MAS). Ada tujuh kampung di Kampung Baru di bawah bidang kuasa MAS, tiga lagi di luar kawasan yang menjadi tumpuan pelan pembangunan Perbadanan Kampung Baru (PKB).

Tiga kawasan itu lebih senang dibangunkan, bahkan Kampung Sungai Baru sudahpun ditawarkan pakej pembangunan menarik oleh pemaju swasta. Apa yang menjadi tumpuan ialah kawasan tanah di bawah kuasa MAS kerana kedudukan statusnya yang melarang tanah itu dijual kepada bukan Melayu.

Berdasarkan kajian maklum balas terkini, 88 peratus penduduk Kampung Baru bersetuju kawasan itu dibangunkan, tetapi 70 peratus daripadanya mahu kerajaan sendiri membangunkan kawasan ini.

Mereka tidak mahu peristiwa ngeri pada 1980-an berulang kerana ada pemaju menggadaikan tanah mereka atas alasan pembangunan, tetapi projek tergendala.

Sebab itulah, mengikut Akta 733 Akta Pembangunan Kampung Baru, setiap pelan pembangunan oleh pemaju mesti dirujuk PKB sebelum diberi restu.

Penulis percaya, kehadiran Perdana Menteri akan mengendurkan ketegangan mengenai isu siapa yang bakal membangunkan kawasan, hak milik, serta apa jaminan hak orang Kampung Baru tidak akan terhapus.

Cuma, persoalannya adakah mereka akan bersetuju dengan tawaran kerana sebahagian mereka mahukan harga yang ‘luar biasa’.

Sebelum ini, ada kawasan dibangunkan anak jati Kampung Baru dan harga tanah dibeli dianggar RM400 satu kaki persegi. Kali ini, mereka mahukan harga tinggi antara RM2,000 sehingga RM3,000 satu kaki persegi.

Mungkin mereka dibuai mimpi indah dengan pengumuman kerajaan sebelum ini yang memperuntukkan RM10 bilion sebagai langkah awal membangunkan kawasan itu.

Perlu diingat, jumlah RM10 bilion itu merangkumi semua kos, bukan hanya untuk bayaran pampasan ambil alih tanah. Seperkara lagi, lot rumah asal mereka cuma antara 8,000 hingga 10,000 kaki persegi dan jumlah pampasan itu perlu diagihkan sama rata dengan semua penama.

Jika gagal mencapai kata sepakat kali ini, adakah pelan itu akan dirombak semula atau Kampung Baru akan kekal dengan imej lama. Hakikatnya, majoriti pemilik dan waris Kampung Baru tidak lagi menetap di situ. Kini, hampir 85 peratus (12,000 orang) daripada kira-kira 14,000 penghuni di situ adalah penyewa, termasuk warga asing.

Jika dibangunkan secara tersusun, pastinya hasil bakal diraih lebih baik dan berpanjangan, dengan syarat hak milik tidak dilucut terus, mungkin layak diberi hak selaku pemegang taruh. Penulis akui, perkara ini cukup rumit untuk diselesaikan dalam tempoh singkat. Pembangunan memang bagus, tetapi kerajaan perlu pastikan tanah Melayu tidak tergadai di bumi sendiri.

Cadangan penulis, jika gagal mencapai suara majoriti, kerajaan boleh mulakan pembangunan secara berperingkat supaya anak jati di situ melihat secara jelas dan fizikal, mengenai apa yang bakal mereka dapat. Projek contoh boleh dimulakan di Kampung Hujung Pasir berhampiran Jalan Sultan Ismail.

Di situ, 33 daripada keseluruhan 93 lot tanah dimiliki syarikat korporat, empat lot lagi tidak mempunyai geran dan bakinya (56 lot) milik individu. Rasanya, lebih mudah berunding dengan syarikat korporat berbanding hampir 5,000 waris tanah pusaka sedia ada.

Kerajaan juga boleh membina rumah transit (penempatan sementara) di Lot 1850, milik MAS. Tetapi pastikan hanya penduduk asal atau waris yang layak menduduki rumah transit, bukannya disewakan.

Apa pun, mereka tetap mengharapkan berita gembira bakal diumum Perdana Menteri. Mengakhiri perbualan, teman berbual tadi berseloroh, katanya selepas bergelar OKKB, gaya batuk pun kena tukar kepada gaya batuk orang kaya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.