https://critoxium.com/shop/

Terkini

Skop gaji minimum perlu adil

Terima kasih kerana kerajaan sudi mempertimbangkan untuk menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,100 kepada RM1,200 sebulan kepada mereka yang berada di kawasan bandar-bandar utama.

Langkah ini dilihat boleh mengurangkan sedikit beban pekerja dalam menghadapi kos sara hidup tinggi pada masa kini. Namun, langkah menaikkan kadar gaji minimum ini tidak seharusnya bertumpu kepada pekerja yang berada di kawasan bandar-bandar utama sahaja.

Kadar baru gaji minimum ini harus dilaksanakan juga kepada pekerja di semua kawasan bandar. Ini adalah kerana amat sukar untuk kita mengenal pasti status bandar itu sendiri kerana pembangunan pantas yang berlaku di setiap kawasan.
Dengan keadaan ekonomi dalam negara tidak menentu serta persekitaran ekonomi global kurang stabil, masalah kos sara hidup dialami semua pekerja di kawasan bandar. Oleh yang demikian, adalah penting untuk pihak kerajaan memberi pertimbangan melaksanakan kadar baru gaji minimum ini kepada semua pekerja yang berada di kawasan bandar tanpa mengira status bandar itu sendiri.

Dalam menentukan kadar gaji minimum, pihak kerajaan perlu mengutamakan faktor kos sara hidup yang dihadapi pekerja tanpa mengira sektor pekerjaan mereka. Isu kos sara hidup adalah isu penting bagi setiap pekerja, terutamanya pekerja di kawasan bandar kerana kos sara hidup di kawasan bandar selalunya tinggi jika dibandingkan dengan kos sara hidup di kawasan luar bandar.

Setiap gaji ataupun upah yang ingin diberikan perlu mengambil kira keadaan kos sara hidup yang terpaksa dilalui pada masa kini.

Pemberian gaji atau upah yang tidak setimpal atau bersesuaian dangan kos sara hidup sekeliling pada masa kini akan menyebabkan seseorang pekerja itu serta keluarga yang ditanggung mereka hidup dalam kesusahan.

Oleh itu, adalah penting faktor kos sara hidup ini diberi keutamaan dalam sebarang proses kajian yang ingin dilakukan terhadap kadar gaji minimum. Pada masa yang sama, pihak kerajaan harus memastikan sebarang penetapan kadar gaji minimum baru memberi manfaat khusus kepada pekerja tempatan dan bukannya pekerja asing yang dilihat masih banyak mendominasi sektor pekerjaan bergaji rendah dalam negara kita.

Perintah Gaji Minimum 2012 telah menetapkan kadar gaji minimum sebanyak RM900 (atau RM4.33 sejam) di Semenanjung dan RM800 (atau RM3.85 sejam) di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Kajian semula kadar gaji minimum telah dilakukan selaras dengan peruntukkan undang-undang dan mulai 1 Julai 2016 ia ditetapkan pada RM1,000 sebulan (atau RM4.81 sejam) bagi Semenanjung manakala kadar RM920 sebulan (atau RM4.42 sejam) ditetapkan bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Pada proses pembentangan Bajet 2019, kerajaan telah bersetuju menyelaraskan kadar gaji minimum di seluruh negara pada kadar RM1,100.

Pihak kerajaan perlu mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkaitan sebelum mengambil sebarang langkah akhir terhadap penetapan kadar gaji minimum ini, terutamanya pandangan orang ramai, serta badan-badan berkaitan yang mewakili pihak pekerja dan majikan seperti MTUC dan MEF. Perkara ini selaras dengan Seksyen 4 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.

Bagi mengatasi masalah kos sara hidup pada masa kini, pihak kerajaan juga disaran memperkenalkan beberapa bentuk elaun baru khusus kepada pekerja tempatan yang menerima gaji minimum ini bagi membantu serta mengurangkan masalah kos sara hidup yang terpaksa dilalui oleh pekerja selain daripada menaikkan kadar gaji minimum pekerja.

Muzaffar Syah Mallow adalah pensyarah kanan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.