https://critoxium.com/shop/

Terkini

Malaysia perlukan pembangkang bertanggungjawab

Oleh Fakhrurrazi Rashid

Setelah Umno menjadi pembangkang pasca-PRU14, rakyat juga telah meletakkan harapan agar mereka menjadi blok pembangkang yang efektif dan dapat mengkritik dasar kerajaan Pakatan Harapan dalam memperjuangkan isu rakyat.

Ini sesuai dengan status pembangkang sebagai ‘kerajaan menunggu’ yang boleh menggantikan parti pemerintah. Namun, sejauh manakah pembangkang telah menjalankan tugasnya di Parlimen?

Sejak 9 Mei 2018, Umno dan PAS telah mulakan serangan dan melemparkan pelbagai tuduhan ke atas kerajaan Pakatan Harapan (PH). Mereka melabel kerajaan PH kerajaan ‘sepenggal’ dan memungkiri janji manifesto.

Walaupun tuduhan ini hak mereka, saya berpendapat pembangkang hari ini tidak menunjukkan kesungguhan mereka untuk semak dan imbang kerajaan PH. Pembangkang masih selesa dan berfikiran di takuk lama meskipun pelbagai ruang diberikan kepada di era Malaysia baharu.
Tidak faham prosedur baharu

Drama yang dibangitkan Umno dan Pas ketika perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) untuk dirujuk kepada Jawatankuasa Parlimen Khas merupakan contoh terdekat bagaimana pembangkang tidak memahami reformasi parlimen yang dibuat.

Apabila mereka tidak faham akan prosedur untuk dirujuk kepada JPK, Umno dan PAS telah menimbulkan provokasi dan penjelasan panjang lebar telah diberikan oleh speaker Dewan Rakyat dan dua orang timbalan speker Dewan Rakyat, melebihi satu jam.

Apabila wakil rakyat Tanjung Karang meremehkan sistem JPK, Penggerang dan Ayer Hitam yang meminta speaker untuk menarik semula RUU IPCMC selepas diputuskan untuk masuk ke JPK, amat jelas mereka ini tidak memahami secara mendalam akan reformasi parlimen.

Saya berpendapat, mereka sengaja menimbulkan drama ketika perbahasan RUU IPCMC kerana kepentingan politik. Pembangkang mahu RUU tersebut segera dirujuk agar usul untuk membahaskan usul merujuk Lim Guan Eng ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, selepas Menteri Kewangan itu didakwa menuduh Barisan Nasional telah merompak wang GST pada Julai yang lalu.

Sekiranya usul ini berjaya, maka ia memudahkan Umno dan PAS untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka tidak bersalah dalam isu skandal dan ketirisan wang rakyat. Ini juga peluang pembangkang untuk menjatuhkan imej menteri kewangan menjelang Belanjawan 2020. Sebab itu, ketua pembangkang dari Umno mahu dewan rakyat membahaskan usul ini pada minggu pertama juga.

Kesibukan mereka berpolitik dan berpolemik menyebabkan pembangkang tidak menyediakan belanjawan alternatif 2020. Bermaksud, rakyat yang mengundi mereka tidak berpeluang untuk melihat dasar alternatif pembangkang untuk mencabar dasar kerajaan PH yang sering didakwa oleh mereka gagal menjaga kepentingan rakyat.

Maka, apakah perancangan mereka untuk masa hadapan negara tanpa belanjawan alternatif? Ini berbeza dengan pembangkang dahulu yang komited menyediakan belanjawan alternatif untuk mengkritik belanjawan Barisan Nasional sebelum PRU14.

Sedangkan pembangkang Umno mempunyai pengalaman dan bekas menteri yang pernah merencana belanjawan negara 10 tahun lalu. PAS yang sudah lama menjadi pembangkang tidak membentangkan sebarang belanjawan alternatif pada tahun ini.

Maka, sejauh manakah pembangkang hari ini serius memperjuangkan nasib rakyat?

Pembangkang bertanggungjawab

Suka atau tidak, Malaysia memerlukan pembangkang bertanggungjawab di Parlimen. Begitu penting untuk rakyat mempunyai blok pembangkang yang berfungsi di Parlimen.

Ahli-ahli parlimen pembangkang mempunyai peranan signifikan dalam sistem demokrasi berparlimen. Setiap negara demokratik tidak bergantung kepada peranan kerajaan, tetapi turut berharap kepada pembangkang untuk bersuara mengkritik dasar kerajaan demi kesejahteraan rakyat.

Pembangkang Umno dan PAS perlu memikirkan kerangka lebih luas untuk memperjuangkan nasib rakyat. Tanpa dasar alternatif, ia menunjukkan pembangkang juga tidak bertanggungjawab terhadap rakyat yang telah memilih mereka ketika PRU14.

Sekiranya mereka serius menjadi pembangkang efektif, maka ia akan dapat membina ruang demokrasi yang matang dan meyakinkan rakyat untuk menyokong mereka. Jika tidak, Parlimen juga akan kehilangan keberkesanan semak dan imbang pihak eksekutif.

Sama ada ketua pembangkang atau menteri kewangan bayangan BN, Khairy Jamaluddin yang akan menjadi pembahas pertama pembangkang bagi perbahasan belanjawan Isnin depan, rakyat semestinya akan meneliti dan menilai pandangan mereka.

Kerajaan PH pula tidak boleh rasa selesa, sebaliknya terus menunjukkan komitmen untuk memastikan Belanjawan 2020 menjadi pemangkin kepada pembangunan rakyat dan negara.

Kehadiran menteri atau timbalan menteri untuk mendengar hujah perbahasan belanjawan daripada ‘backbencher’ dan pembangkang akan memberi makna dalam proses perbahasan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.