https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pastikan bekalan beras negara terjamin

Oleh Mohd Azmi Abdul Hamid

Kami menyeru pihak kerajaan memastikan stok penimbal beras nasional terjamin ketika wabak Covid-19 sedang melanda seluruh dunia.

Keadaan luar jangka seperti perubahan cuaca, penyakit, bencana alam , kelembapan ekonomi dan wabak akan menjejaskan bekalan beras jika negara bergantung kepada import dan tidak mengambil langkah proaktif.

Kekhuatiran yang dinyatakan oleh Persatuan Pemborong Beras Malaysia dan Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia bahawa harga beras import berkemungkinan akan naik perlu diberi perhatian serius.

Stok penimbal beras adalah soal keselamatan makanan negara dan ia perlu sentiasa dikemaskini mengikut situasi yang berlaku dalam dan luar negara.

Pengguna berhak untuk tahu fakta sebenar mengenai isu ini iaitu berapa dan dimana stok penimbal beras negara disimpan supaya mereka tidak tersepit dalam keadaan diluar jangka dan tidak bersiap menghadapinya.

Pemegang lesen import beras tunggal negara iaitu Bernas harus disemak semula supaya bekalan beras pengimport dari luar tidak bergantung hanya kepada satu syarikat.

Secara idealnya pengeluaran keperluan beras negara seharusnya mencapai 75 peratus sara diri berbanding 70 peratus seperti yang ada sekarang.

Kebergantungan sekarang kepada bekalan 30 peratus dari luar adalah berisiko tinggi.

Beras adalah makanan terkawal negara. Bekalan dan harga perlu dijamin supaya tidak berlaku kekecohan di kalangan rakyat bila terputus bekalan dan ketika harga beras naik.

Kami mencadangkan :

1. Usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran padi domestik perlu direncana dengan rapi. Kapasiti pengeluaran jelapang padi yang kini sangat kritikal terutama di Kedah-Perlis ( pembekal 40 peratus keperluan beras negara ) perlu ditingkatkan.

2. Bantuan kepada pesawah dan pengilang padi perlu disemak semula untuk menjamin mereka dapat terus mengusahakan industri makanan asas negara. Kos penanaman padi perlu dikaji agar dapat dikurangkan seperti amalan bebas kimia, mengurang kos kejenteraan, dan penyimpanan benih oleh pesawah. Skim insentif yang menarik perlu digubal agar lebih ramai generasi muda terlibat dalam industri padi negara.

3. Gunatanah pertanian untuk pengeluaran padi hendaklah dijamin untuk mengelak penyusutan tanah sawah terutama kawasan jelapang padi seperti Kedah-Perlis. Cadangan mewartakan tanah sawah perlu dilaksanakan segera seperti yang diketengahkan oleh Majlis Tanah Negara. Kawasan jelapang padi hendaklah dikawal supaya tidak mudah ditukar statusnya.

Seksyen 125 – 129 Kanun Tanah Negara yang melibatkan tukar guna/ syarat tanah tanpa kelulusan Pihak Berkuasa Negeri hendaklah dikuatkuasakan dengan tegas.

4. Stok penimbal beras perlu dikemaskinikan dan dimaklumkan kepada awam untuk diketahui kedudukan sebenar. Keperluan beras dalam negara untuk memenuhi 3 juta metrik tan setahun ( 78 kg per kapita setahun ) perlu dicapai. Oleh itu stok penimbal tidak boleh terlalu bergantung kepada import.

5. Stok penimbal perlu terjamin untuk sekurang-kurangya 6 bulan iaitu sekitar 1.5 juta tan ( 250,000 kg sebulan ). Tempat penyimpanan stok perlu dijamin keselamatannya.

6. Logistik untuk penghantaran bekalan beras perlu dipastikan lancar ketika PKP dikuatkuasakan. Kawasan pendalaman perlu terjamin bekalan beras untuk penduduk yang berkenaan. Status bekalan yang mencukupi disatu satu lokasi amat berbeza. Oleh itu pihak berkuasa perlu memastikan fakta yang tepat untuk menjamin bekalan mencukupi.

7. Perjanjian Asean mengenai bekalan beras perlu disemak semula untuk mengelakkan keadaan diluar jangka bila semua negara pembekal menghadapi masalah pengeluaran. Negara pembekal seperti Vietnam dan Thailand tidak sentiasa terjamin bekalan dan harga beras yang stabil jika berlaku perubahan ekonomi, malapetaka, dan penyakit di negara-negara tersebut.

8. Pemantauan lebih rapi diwaktu bencana wabak Covid-19 ini perlu digerakkan berdasarkan Akta Kawalan Bekalan 1961 , Akta Kawalan Harga dan Pencatutan 2011 dibawah KPDNHEP dan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 ( Akta 522 ) dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

















Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.