Seri Paduka adalah Parlimen
PARLIMEN dari sudut entiti dan bidang kuasa akan lebih jelas difahami jika dirujuk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan amalan pemisahan cabang kuasa.
Perkara 44 memperuntukkan bahawa kuasa perundangan Persekutuan terletak hak pada Parlimen; Parlimen itu terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong dan dua buah Majlis iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
Ordinan di bawah Perkara 150(2B) boleh digubal oleh Yang di-Pertuan Agong sahaja ketika keadaan terdesak, dan hendaklah dibentangkan kemudiannya di hadapan kedua-dua buah Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
Apabila Yang di-Pertuan Agong melaksanakan kuasa penggubalan ordinan, Baginda bertindak sebagai pemegang kuasa legislatif.
Justeru, akan bercanggah dengan peruntukan Perkara 44, jika ada dakwaan kononnya ordinan darurat boleh digubal mahupun dibatalkan di dalam atau di luar Parlimen.
Prinsip pemisahan cabang kuasa sebagai struktur asas Perlembagaan Persekutuan seperti dinyatakan oleh penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Semenyih Jaya (2017) memelihara batasan bidang kuasa legislatif, eksekutif dan Kehakiman masing-masing.
Kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai entiti Parlimen membolehkan dalam keadaan khas yang dibenarkan oleh undang-undang Baginda bersendirian bertindak sebagai Parlimen.
Secara amalannya, Yang di-Pertuan Agong tidak perlu berangkat ke dalam atau bersemayam di dalam dewan atau kamar Parlimen untuk menandatangani perkenan kepada instrumen proklamasi, ordinan mahupun rang undang-undang di bawah Perkara 150(2B) dan (3) begitu juga Perkara 66 dan Perkara159.
Pada hakikatnya, ordinan boleh dibatalkan atau diungkaikan hanya oleh Parlimen. Suatu ordinan boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong atau diungkaikan oleh dua buah Dewan, iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara seperti termaktub di bawah Perkara 150(3).
Jika tidak dibatal atau diungkai lebih awal, maka suatu ordinan itu boleh luput apabila tamat tempoh 6 bulan selepas tarikh darurat berakhir. .
* Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi bin Wan Husain merupakan
Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik, Universiti Malaysia
Pahang (ITKAS).
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.