https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pudu berasal dari nama pokok paya


Oleh Zin Mahmud

Ketika menjelang pilihan raya tahun 2018, saya pergi ke kawasan Pudu, Kuala Lumpur. Ketika itu, saya sudah bertahun-tahun tidak pergi ke situ. Seorang ahli perniagaan dalam industri percetakan membawa saya ke situ. Beliau ada urusan di sana dan saya hanya berjalan-jalan untuk meninjau ke situ.

Beliau mencetak poster parti- parti bertanding iaitu PKR, PAS dan BN dengan menerima pesanan dari penyokong ahli-ahli politik yang bertanding.

Ahli perniagaan itu bergantung sepenuhnya pada seorang warga Bangladesh yang cekap mengurus pesanan, dari pengeluaran hingga penghantaran. Ketika wabak Covid-19 pada tahun 2020, dia seperti banyak orang asing terpaksa pulang ke negara masing-masing. Akibatnya perniagaan kawan saya itu terjejas.

Kawasan Pudu yang terdapat banyak pencetak itu terletak tidak jauh dari bahagian belakang Berjaya Times Square iaitu dari Jalan Thambi Abdullah hingga ke arah Jalan Pasar. Setelah meninjau beberapa kilang cetak, ternyata kawasan yang selama ini didiami dan didominasi kaum Cina sedang sedikit demi sedikit diambil alih oleh orang Bangladesh yang menjalankan kerja-kerja percetakan. Hampir semua majikan di situ bergantung pada pekerja Bangla.

Kawasan lama itu pastinya akan dibina semila dengan bangunan-bangunan lebih moden dan terkini. Ini kerana kawasan itu merupakan sebahagian daripada pusat bandar Kuala Lumpur yang ditandai dengan pusat membeli belah Pavilion dan kedudukannya juga tidak jauh dari Tun Razak Exchange (TRX). Pemilik hartanah atau pewaris pasti mengaut keuntungan besar apabila kawasan itu dibina semula. Antaranya untuk pembinaan kondominium.

Pada zaman British dan ketika negara baru mencapai kemerdekaan, kawasan itu menempatkan pejabat surat khabar, penerbit majalah dan buku, pengedar-pengedar dan kilang cetak.

Malah pejabat lama Straits Times Kuala Lumpur sebelum pindah ke Bangsar juga terletak di di situ. A Samad Ismail yang pernah menjadi Ketua Pengarang Berita Harian, iaitu akhbar pasangan pada The Straits Times pernah menulis cerpen-cerpen yang berlatarkan kawasan Pudu itu. Ia terkandung dalam antologi cerpen bertajuk Ingin Menjadi Pujangga yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Ketika berada di kawasan itu pada tahun 2018, saya pergi makan di sebuah restoran Bangla yang terletak di penjuru sebatang jalan utama. Makanan orang Bangla tentulah berbeza daripada menu Mamak yang biasa digemari oleh orang Malaysia.

Di depan restoran terdapat sebuah pasar raya panjang yang menjual barang-barang keperluan kaum itu. Antaranya jenama yang tidak dikenali di sini, berkemungkinan merupakan barangan import dari Bangladesh. Di atas bangunan itu kelihatan kediaman orang Bangla.

Apa yang saya andaikan ialah generasi kedua pemilik bangunan dan perniagaan orang Cina di kawasan itu telah berpindah keluar dari pusat bandar. Keadaan ini berlaku kerana pekerja Bangla sanggup dan mampu bekerja dengan pendapatan lebih kecil daripada penduduk tempatan. Perlu diingat bahawa pada tahun 2018 belum berlaku wabak Covid-19. Sekarang tentu berbeza.

Apabila pulang dari situ, saya pun menulis tentang keadaan di kawasan Pudu itu dan membuat hantaran di Facebook. Sekelip mata saja, Facebook menghalang hantaran itu daripada disiarkan. Ia menyatakan bahawa piawai komuniti mereka menghalang kenyataan-kenyataan yang bernada membenci pada orang asing iaitu Xenofobia . Maknanya ia menyifatkan catatan saya mengenai kehadiran orang Bangla ke kawasan Pudu itu adalah membenci dan mengandung prasangka terhadap pekerja asing dari Bangladesh.

Saya bukanlah seseorang yang menolak kehadiran dan peranan pekerja asing apatah lagi membenci iaitu xenofobia. Adalah sesuatu yang tidak bermasalah bagi saya untuk berurusan dengan orang asing di Malaysia; sama ada dari Bangladesh, Nepal atau Vietnam. Saya sering menggunakan perkhidmatan tukang paip dan jurubina dari kalangan orang Bangladesh.

Pada tahun 2010-an, saya pernah membaiki kereta di sebuah bengkel di Gombak yang dimiliki dan diusahakan sepenuhnya oleh dan pekerja Bangla. Dari gambar-gambar yang diletak pada dinding, dapat dilihat bahawa pemilik itu adalah dari keluarga ahli politik Bangladesh. Terdapat juga gambar yang menunjukkan mereka mempunyai hubungan baik dengan seorang ahli politik Malaysia.

Maka catatan saya yang dihalang oleh platform media sosial itu hanyalah merupakan penceritaan atau paparan apa yang dilihat sendiri oleh saya. Ia merupakan laporan atau reportage, tanpa sebarang pendapat apatah lagi membuat penilaian.

Tetapi tentulah menjadi prihatin kepada saya sebagai warga negara Malaysia jika terdapat agenda kedatangan besar-besaran dari negara luar untuk menetap di sini yang akhirnya akan mengubah demografi penduduk negara ini. Tidak kiralah yang datang itu dari Bangladesh, Republik Rakyat China, Republik India, Indonesia, Filipina atau Myanmar dari kalangan kaum Rohingya.

Negara ini mempunyai undang-undang dan peraturan yang ketat terhadap pendatang-pendatang tanpa izin dan pemerdagangan manusia . TetapI cabarannya ialah penguatkuasaan dan ancaman potensi berlakunya korupsi. Apabila sudah terlalu banyak pendatang tanpa izin yang bermakna negara ini sudah bolos, kerja penguatkuasaan yang melibatkan pengusiran bertambah sukar.

Layanan terhadap pengunjung asing ada beberapa kategori. Negara tentulah mengalu-alukan pelancong dan mereka yang mahu menjadilan Malaysia sebagai tempat kediaman kedua. Begitu juga dengan pekerja asing dan ekspatriat yang turut menyumbang pada ekonomi negara juga dialu-alukan. Tetapi kalau ada yang datang untuk menetap di sini dan akhirnya menguasai negara dengan bilangan mereka yang banyak, maka ia pasti mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara.

Apa yang dinamakan kawasan Pudu adalah luas, iaitu dikira sekitar di kiri dan kanan Jalan Pudu. Ia bermula dari bulatan yang ada bangunan Pudu Raya hinggalah jalan itu bertembung dengan Jalan Cheras. Saya tidak asing dengan Jalan Pudu ini kerana ketika bekerja di Utusan Melayu pada tahun 1982 hingga 1986, bas mini dan bas panjang Toong Fong mesti melalui jalan ini untuk pergi ke Jalan Chan Sow Lin di mana terketaknya pejabat dan kilang cetak akhbar itu.

Pada awalnya, Jalan Pudu dipanggil Pudoh Road oleh pentadbir British. Nama jalan ini berasal dari nama Kampung Pudu yang terletak di kawasan rendah dan berpaya. Pudu adalah nama pokok yang tumbuh di kawasan berpaya.

Di tapak Kampung Pudu inilah didirikan Penjara Pudu pada tahun 1895. Ia ditutup pada tahun 1996. Kini di tapaknya terdiri pusat membeli-belah Lalaport Bukit Bintang City Centre. Hanya tinggal pintu gerbang Penjara Pudu sebagai mercu tanda warisan.

Walaupun Lalaport itu berhampiran dengan Jalan Bukit Bintang tetapi ia tidaklah berada di jalan itu. Ini kerana Jalan Bukit Bintang berakhir di persimpangan Jalan Pudu. Depan pintu depan Penjara Pudu dan Lalaport adalah Jalan Hang Tuah. Nama asalnya ialah Goal Road. Goal bermakna penjara. Kemudian ia bertukar kepada Shaw Road sebelum menjadi Jalan Hang Tuah. Ia bersambung dengan Jalan Imbi di mana terletaknya Berjaya Time Square dan Imbi Plaza. Jalan Imbi mengambil sempena Sarjan Imbi Seedin, seorang anggita polis yang pernah membina rumahnya di persimpangan Jalan Imbu dan Jalan Pudu.

Pada tahun 1966, ketika saya darjah satu, saya dibawa ke stesen bas Pudu. Ia terletak di tapak Pudu Raya, kini ia menjadi Pudu Sentral. Di situ, ada tanah lapang dan bas-bas disusun berderet dengan gerai-gerai makanan, buah-buahan dan minuman. Bas Toong Fong pergi ke Sungai Besi dan Serdang. Bas Foh Hup pergi ke Kajang dan Serdang.

Berhampiran simpang dengan Jalan Sungei Besi terdapat stesen keretapi Pudu. Pada zaman British dan awal merdeka terdapat perkhidmatan keretapi dari Ampang ke Pudu. Kini laluan itu telah digunakan oleh LRT laluan Ampang.

Jalan Pudu mempunyai simpang-simpang ke jalan-jalan penting Kuala Lumpur. Paling utama ialah Jalan Bukit Bintang. Pada tahun 1966, saya pernah dibawa ke BB Park yang terletak di tapak yang sekarang berdirinya Sungei Wang Plaza. BB Park ini adalah tempat hiburan yang di dalamnya ada fun fair, iaitu permainan-permainan yang menggembirakan dan juga kabaret atau dewan tari-menari

Dalam sejarahnya, Jalan Pudu merupakan kawasan dari kalangan komuniti Cina yang membuat pelbagai jenis perniagaan. Kemakmuran kawasan ini disumbang dari hasil bijih timah. Lombong-lombong bijih tinah berada di kawasan Sungai Besi, Cheras dan Ampang yang menggunakan perkhidmatan perniagaan dI Jalan Pudu. Mereka memanggil kawasan ini Poon San Pa, dalam bahasa Kantonis yang bermaksud “separuh hutan.”

Namun begitu, nama Jalan Imbi dan Changkat Thambi Abdullah menunjukkan adanya kampung Melayu, iaitu Kampung Thambi Abdullah. Kampung ini diasaskan oleh Che Pak Dollah. Beliau membeli tanah di situ dari seorang asal Sumatera untuk membuat ladang kelapa dan nenas. Apabila menjadi kampung, beliau menjadi penghulunya

Pada sambutan Tahun Baharu Cina 1975, saya pernah mengunjungi rumah kawan saya yang terletak di belakang rumah kedai di Changkat Thambi Abdullah. Dapatlah saya melihat suasana rumah berusia lebih 100 tahun. Saya juga menghadiri jamuan tahunan persatuan perpustakaan sekolah saya di sebuah restoran Cina di kawasan itu.

Pada masa ini, kawasan itu sedang berubah dan kehadiran orang asing yang mencari pendapatan di kawasan itu akan turut menciptakan masa depan Kuala Lumpur dan negara.

ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.