https://critoxium.com/shop/

Terkini

Melestarikan Sungai


Oleh Zaini Ujang

Melestarikan sungai adalah tanggungjawab semua warga tanpa mengenal usia, kaum, agama, kedudukan atau kerjaya. Sungai adalah cerminan sesebuah negara dan bangsa. Bersih air sungai menandakan bersihnya masyarakat dari segi jiwa dan minda. Lestarinya ekosistem sungai - floranya mekar membunga, faunanya segar membiak - menzahirkan kelestarian gaya dan cara hidup sesebuah warga negara. Begitulah sebaliknya.

Melestarikan sungai bukan suatu gagasan yang sukar amat, yang hampir mustahil atau anganan semata. Realitinya sukar lagi membangun sebuah projek kereta nasional, merekayasa jambatan berkilometer panjang membelah laut, atau membina jalanraya di serata pelusuk negara sampai ke danau dan desa.

Melestarikan sungai bermula dengan kecintaan dan keinginan tinggi terhadap bekalan serta sumber air minuman yang berkualiti, dan kebersihan kawasan sekitar untuk beriadah dan bersantaian bersama sanak keluarga. Sumber air berkualiti tinggi akan mengurangkan risiko kesihatan, memudah dan memurahkan proses rawatan air serta menjimatkan kos untuk kebaikan pengguna.

Melestarikan sungai boleh dilaksanakan oleh semua pihak tanpa perlu pelan induk nasional, gembar-gembur program mega atau kemeriahan acara perdana:

1. Mengenali dan memahami aliran sungai di kawasan masing-masing - nama sungai, morfologi sungai, peranan sungai yang berhampiran dengan setiap warga.

2. Memastikan anak sungai dan longkang yang berdekatan kawasan perumahan dan tempat kerja tidak dilimpahi sampah-sarap, atau aliran air kumbahan tidak terawat, atau buangan apa sahaja bentuk sisa.

3. Memastikan loji kumbahan atau tangki septik di kawasan perumahan dan tempat kerja berfungsi sebaiknya (nota: petanda mudah sesuatu sistem kumbahan tidak berfungsi ialah bau busuk dan aliran berwarna).

4. Anjurkan acara gotong-royong, misalnya sebulan sekali, bersama penduduk setempat untuk membersihkan anak sungai, longkang dan tebing sungai utama secara berkala.

5. Tubuhkan kelab atau AJK khas dalam persatuan penduduk berserta kemudahan media sosial dengan tujuan untuk melestarikan ekosistem sungai berdekatan bagi meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan melestarikan sungai kepada seluruh anggota serta seisi keluarga.

6. Antara aktiviti kelab yang strategik dan berimpak besar adalah membina denai (trails) di sepanjang tebing dan persisiran sungai untuk membolehkan masyarakat mendekati, menyumbang bakti dan menikmati ekosistem sungai tanpa perlu biaya besar dari penaja.

7. Berusaha untuk mewujudkan kesedaran awam supaya masyarakat berasa bangga dan mengasosiasikan diri dengan sungai, contohnya: “rumah saya di Taman Rimba Desa, berhampiran Pusat Aktiviti Ke-5 Kelab Sahabat Sungai Langat, di KM67 Sungai Langat”!

8. Jadikan anak sungai berhampiran kawasan perumahan dan tempat kerja sebagai pusat aktiviti air untuk komuniti setempat seperti berkelah, bersiar sepanjang denai, berkayak, memancing atau bermandi-manda, dimulai dengan inisiatif meningkatkan kualiti air menggunakan teknologi mudah seperti Sabo, wetlands dan empangan.

9. Adakan kerjasama dengan Agensi atau NGO berkaitan pelestarian sungai untuk mempelajari sesuatu inisiatif atau kaedah pelestarian sungai secara sukarela.

10. Jadikan pelestarian ekosistem sungai sebagai wadah menyatukan penduduk setempat tanpa mengenal pangkat, kedudukan, kaum, agama, fahaman politik atau usia.

Sesungguhnya usaha melestarikan alam sekitar dan sumber air adalah terangkum dalam empat daripada tujuh amal jariah, sebagaimana maksud Hadith: “Tujuh perkara yang seseorang itu masih berterusan mendapat pahala walaupun sudah meninggal dunia:

1. Ilmu yang diajarkan
2. Mata air yang dialirkan
3. Perigi yang digali
4. Pohon yang ditanam
5. Masjid yang dibina
6. Mushaf al-Quran yang ditinggalkan sebagai pusaka
7. Anak soleh yang sentiasa mendoakan keampunan untuknya”

(Al-Jami’ al-Sahih: 3596, Kitab al-Taghrib wal-Tarhib)

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.