Terkini

Ketahui kesan jika kerajaan isytihar darurat di Pasir Gudang

KECOH dalam media sosial, pengguna Internet marahkan kerajaan kerana tidak mengisytiharkan darurat bencana di Pasir Gudang susulan pencemaran toksik yang berlaku di sana.

Saya tidak tahu sama ada mereka ini benar-benar faham atau tidak apakah kesannya apabila sesuatu perintah darurat itu diisytiharkan oleh kerajaan.

Atau mereka sekadar ikut-ikut orang lain sahaja? Orang lain kutuk kerajaan, mereka pun kutuk sama.
Orang lain suruh kerajaan isytihar darurat mereka pun turut tumpang semangkuk, tanpa mengetahui apakah itu darurat bencana dan kesan daripada darurat bencana tersebut.

Sukacita saya ingin maklumkan. Semasa banjir besar berlaku di Kelantan pada 2014, kerajaan persekutuan ketika itu pun tidak isytiharkan darurat bencana di sana, sungguhpun bolehlah dikatakan itu antara banjir terbesar yang pernah berlaku di Kelantan yang hampir menenggelamkan sebahagian besar negeri itu.

Saya tak tahu, apa yang seronok sangat dengan darurat ini sehingga semua orang seolah-olah hendak sangat kerajaan isytiharkan darurat? Adakah mereka rasa darurat ini seperti pesta?

Sebenarnya  pengisytiharan darurat bencana ini hanya perlu dilakukan sekiranya kerajaan merasakan mereka perlu membuat suatu tindakan drastik atau mengeluarkan perintah-perintah tertentu dengan segera untuk mengatasi bencana itu.

Ini kerana, menurut Arahan MKN (Majlis Keselamatan Negara) No.20: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara, pengisytiharan darurat bencana, apabila perlu, dibuat secara peraturan pentadbiran dan eksekutif oleh perdana menteri atas syor Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) dan ianya akan tertakluk kepada undang-undang dan tatacara kerajaan yang sedang berkuat kuasa ketika darurat itu.

Ini bermakna, sekiranya darurat diisytiharkan, kerajaan (sila baca perdana menteri) boleh membuat atau mengeluarkan, atau menggubal sebarang perintah atau undang-undang yang dipanggil sebagai undang-undang darurat di kawasan yang disytiharkan darurat tersebut, tanpa perlu di bawa ke Parlimen untuk diluluskan.

Dan secara otomatiknya undang-undang biasa yang terpakai dalam keadaan aman tidak lagi terpakai dalam situasi darurat tersebut sehinggalah pengisytiharan darurat tersebut ditarik balik oleh kerajaan
.
Antara langkah yang akan dilakukan apabila darurat bencana diisytiharkan ialah pengambilan tanah dan tempat-tempat persendirian seperti rumah atau bangunan persendirian untuk dijadikan pusat pemindahan atau bilik gerakan tanpa kerajaan perlu membayar apa-apa saguhati atau pampasan kepada pemilik tanah atau bangunan tersebut, atau mengusir mana-mana pihak daripada premisnya untuk tujuan keselamatan dan sebagainya.

Dan ketika itu tiada pihak boleh mempertikaikan arahan tersebut.

Darurat juga biasanya akan diisytiharkan jika ramai mangsa enggan berpindah dan memilih untuk kekal di rumah mereka walaupun kediaman mereka tersebut diisytiharkan sebagai kawasan berbahaya.

Dan apabila darurat berlaku maka setiap arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa terutamanya oleh MKN, termasuk arahan untuk berpindah dan juga arahan untuk menggunakan aset yang lain wajib dipatuhi.

Dalam tempoh darurat itu juga kerajaan persekutuan boleh mengarahkan dan memberi kuasa penuh kepada semua ejensi di bawahnya termasuklah tentera, bomba dan penyelamat, polis dan lain-lain untuk melakukan apa sahaja yang dirasakan perlu termasuklah mengambil alih kawasan yang diisytiharkan darurat tersebut dan sebagainya.

Dan sekali lagi perlu diingatkan, semasa tempoh darurat tersebut tidak ada seorang pun yang boleh mempertikaikan apa sahaja arahan dikeluarkan oleh kerajaan mahupun agensi yang diturunkan kuasa kepadanya.

Ini bertujuan untuk memastikan langkah keselamatan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya dan berkesan.
Saya yakin kalau rakyat tahu betapa teruknya situasi dan kesan jika sesuatu darurat bencana itu diisytiharkan, sudah pasti rakyat tidak mahu situasi sedemikian berlaku.

Ia bukan sahaja akan menyebabkan suasana panik dan kelam kabut yang keterlaluan dalam negara kita, tetapi akan memberi kesan negatif dan tidak baik kepada pelabur luar.

Nanti akan ada pula yang kata kerajaan persekutuan ini zalim kerana isytiharkan darurat. Sedangkan dahulu mereka yang beriya-iya suruh kerajaan isytiharkan darurat.

Melihatkan jaminan dan langkah drastik yang diberikan dan diambil oleh kerajaan persekutuan setakat ini, saya fikir buat masa sekarang, tidak perlu dan dan tidak terdesak pun undang-undang darurat diisytiharkan di Pasir Gudang, memandangkan agensi kerajaan sudah dikerahkan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya di sana dan semuanya dilaporkan dalam keadaan terkawal.

Tambahan pula kerajaan mengumumkan peruntukan tambahan untuk mengatasi bencana tersebut. Dan bantuan pun masih dapat disalurkan dengan baik setakat ini.

Oleh itu, saya fikir tidak ada keperluan pun untuk kerajaan mengisytiharkan darurat pada ketika ini.
Parlimen Malaysia kelmarin sudah membahaskan usul tergempar bagi membincangkan sama ada perlu atau tidak darurat bencana diisytiharkan di sana.

Ahli Parlimen mewakili kerajaan dan pembangkang juga memberikan hujah masing masing.
Justeru, berdasarkan hujah-hujah itulah kerajaan membuat keputusan untuk tidak mengisytiharkan darurat bencana di sana.

Kesimpulannya, sebelum anda melontarkan kutukan atau kritikan bersifat emosional berdasarkan sentimen politik semata-mata eloklah anda dapatkan maklumat dan info yang tepat tentang perkara tersebut. Jangan hanya ikut orang sahaja.

Selain usaha yang telah dilakukan, sama-samalah kita berdoa kepada Allah semoga saudara saudara kita di sana diberi perlindungan dan diselamatkan oleh Allah dan bencana ini dapat di atasi dan berakhir dengan segera. Insya Allah.

* Salkukhairi Abd Sukor adalah peguam dan pengerusi Gabungan Peguam Hartanah Rakyat (GEMPHAR).

Tiada ulasan