Pemimpin masa depan perlu dipupuk nilai integriti, amanah
Oleh Dr Arni Munira Markom
HARAPKAN pegar, pegar makan padi. Itulah pepatah paling sesuai kepada mereka yang terbabit dalam rasuah di negara kita. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita membabitkan pegawai kanan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang disyaki mengeluarkan sijil kelahiran dan menjual MyKad kepada warganegara China.
Terjawab juga teka-teki rakyat Malaysia dengan isu MyKad yang dipegang oleh warga negara asing setelah sekian lama. Malah, ini bukan kes pertama membabitkan pegawai kerajaan terutamanya dari bahagian penguatkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Imigresen, Kastam, Polis Diraja Malaysia dan Majlis Perbandaran atau Daerah.
Kes yang menggemparkan kita pada April lalu yang mana sejumlah besar dalam anggaran 75 orang pegawai JPJ menerima rasuah sehingga melumpuhkan sistem JPJ di seluruh negeri itu, juga masih belum reda.
Mereka didakwa menerima bayaran bulanan bagi melindungi pemandu lori yang membawa lebihan muatan dan membocorkan maklumat operasi yang sedang dijalankan dengan menggunakan pelekat khas bagi dikenal pasti kepada pegawai yang terbabit.
Amanah dan tanggungjawab mereka besar untuk melaksanakan dasar kerajaan, menjalankan urusan negara selain berfungsi sebagai jentera pentadbiran kerajaan. Namun, tegar mereka mengkhianati amanah dan tanggungjawab itu kepada anak bangsa, agama dan negara.
Tidak timbul soal takut kepada undang-undang atau ditangkap, ini kerana pembabitan mereka bekerjasama di dalam sekumpulan yang besar. Daripada sekecil jawatan kerani, sehingga pada peringkat yang lebih besar seperti pengarah dan timbalan pengarah, berani bersekongkol untuk menerima rasuah.
Mereka lupa, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya akan jatuh ke tanah juga. Pada ketika itu, barulah mereka akan ingat kepada anak isteri, keluarga juga agama. Bagaimana malunya ibu bapa dan keluarga mereka berhadapan dengan masyarakat, apatah lagi anak kecil ke sekolah dengan keadaan ibu atau bapa mereka ditangkap dan dipenjarakan akibat rasuah.
Budaya yang menjijikkan ini terus menular dengan pembabitan dan tangkapan pesalah daripada golongan belia atau anak muda yang sepatutnya menjadi pemimpin negara pada masa hadapan. Sifat tamak yang tidak terbendung.
Alasan bergaji rendah sering diutarakan, sedangkan ramai lagi rakyat Malaysia yang juga bergaji rendah dan tidak dapat menikmati banyak elaun mahupun pencen seperti yang diberikan kepada pegawai kerajaan ini.
Acapkali Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan semua pegawai kerajaan untuk tidak terbabit dengan rasuah agar negara kita mampu bangun dan dihormati semula. Bahaya rasuah ini memberi implikasi besar kepada pembangunan bangsa dan negara.
Ia bukan sahaja melambatkan kemajuan ekonomi dan menjatuhkan sesebuah negara, malah ia juga mampu menjatuhkan tamadun ulung seperti kejatuhan tamadun Turki Uthmaniyah di samping banyak lagi kelemahan lain di penghujung tamadun itu.
Kita juga tidak boleh bergantung sepenuhnya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilihat berjuang berseorangan bagi membanteras pesalah rasuah ini. Amalan yang dilaksanakan seperti kekerapan pertukaran tempat kerja, pengisytiharan harta diri dan keluarga pada setiap tahun dan menggalakkan operasi bersepadu perlu dipertingkatkan dan dikemaskan lagi.
Ada kajian sosial yang dijalankan terhadap 40 negara, mengesahkan hubung kait antara pelajar yang meniru atau menipu di dalam peperiksaan, mempunyai kecenderungan kuat dalam gejala rasuah apabila mereka bekerja.
Ini adalah titik utama bahawa budaya jijik ini perlu dibanteras seawal pendidikan di tadika, sekolah, sehingga pada peringkat universiti. Amaran keras dan tindakan sebagai tanda peringatan perlu diambil kepada pelajar yang terbabit dalam penipuan peperiksaan.
Nilai integriti, jujur dan amanah perlu ditanamkan dalam diri setiap pelajar dan masyarakat untuk menghentikan gejala rasuah. Selain itu, kempen jijik rasuah dan kesan berat kepada pesalah rasuah juga perlu diterapkan di dalam pendidikan bagi melahirkan golongan belia yang mampu membangunkan agama, bangsa dan negara.
Bagai melentur buluh, biar dari rebungnya, kerana pelajar kita pada hari ini, adalah pemimpin harapan pada masa hadapan.
Penulis Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor

Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.