https://critoxium.com/shop/

Terkini

Wahai ahli politik, hormati kebijaksanaan polis

Oleh Timmy Say

Politik Malaysia tidak pernah bosan.

Dalam suasana tenang menanti Belanjawan 2020, tiba-tiba negara digemparkan dengan penahanan beberapa individu yang disyaki terlibat dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Apa yang mensensasikan penangkapan tersebut ialah ia melibatkan dua Adun DAP, iaitu G Saminathan dan P Gunasekaran serta dua ahli DAP Melaka yang berjawatan Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan dan ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah anak syarikat kerajaan negeri.

Lebih menarik, penahanan itu dilakukan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), satu akta yang dijanjikan Pakatan Harapan bakal dimansuhkan di bawah manifestonya.
Susulan penahanan itu, ramai ahli politik yang tiba-tiba tampil mengajar polis apa yang harus dan tidak harus dibuat.

Malah, ada ahli politik yang terus menjadi hakim dengan membuat deklarasi awam bahawa ada di antara mereka yang ditahan itu tidak bersalah, seolah-olah polis tersilap membuat penahanan tanpa bukti sahih.

Ini menimbulkan rasa tidak puas hati di media sosial sehingga ada netizen yang menyindir dan memperlekehkan tindakan polis.

Menggunakan insiden serangan terhadap Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanan Indonesia, Wiranto baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador menegaskan polis mempunyai bukti sebelum melakukan penahanan terhadap individu yang disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas itu.

Beliau berkata, pihaknya tidak melakukan tangkapan sewenang-wenangnya dan ia tiada kaitan dengan isu politik, kaum mahupun agama.

Beliau juga secara profesionalnya menasihatkan ahli politik yang bagaikan kera terkena belacan untuk bertenang dan menjamin polis akan berlaku adil mengikut prosedur operasi standard.

“Isu keselamatan adalah tanggungjawab polis. Saya akan berlaku adil mengikut SOP, sekiranya didapati tidak bersalah, kita akan rujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk membuat keputusan selanjutnya,” tegas beliau.

Rakyat Malaysia perlu bersangka baik terhadap kebijaksanaan polis. Tatkala ibu negara jiran seperti Bangkok mengalami serangan bom, rekod polis Malaysia dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan rakyat negara ini sangatlah cemerlang.

Contohnya, pada Feb tahun ini, polis menangkap sembilan individu – enam warga Mesir, dua warga tempatan dan seorang warga Tunisia yang disyaki anggota kumpulan pengganas Ansar Al-Shariah Al-Tunisia.

Ketua Polis Negara ketika itu, Mohamad Fuzi Harun berkata, hasil siasatan polis mendapati mereka cuba menjadikan Malaysia sebagai tempat selamat, destinasi transit dan pangkalan logistik dengan menyusup ke negara ini menggunakan dokumen palsu atau sah, berkahwin dengan rakyat tempatan, mengeksploitasi kemudahan pengajian atau perniagaan.

Apakah rakyat Malaysia merungut tindakan polis ketika itu? Ada sesiapa yang bersangka buruk terhadap polis dan mendakwa mereka salah tahan suspek? Ada sesiapa yang mendakwa mereka yang ditangkap tidak bersalah? Tiada.

Malah, ramai yang lega dan berterima kasih terhadap kecekapan polis, meskipun tiada sesiapa tahu siasatan polis betul ataupun tidak. Yang ada hanya perasaan bersangka baik dan menghormati kebijaksanaan polis.

Setakat hari ini, tiada siapa tahu apa yang polis dapat siasat mengenai LTTE. Jangan kerana ada ahli politik yang ditangkap, maka ada yang melenting.

Sebagai rakyat Malaysia yang waras, sepatutnya kita berfikir sekiranya ini melibatkan ahli politik dan mereka yang berkuasa, maka ia jauh lebih berbahaya daripada biasa.

Wahai ahli politik, bersangka baiklah pada polis dan hormati kebijaksanaan mereka. Sesungguhnya, kesetiaan mereka pada rakyat dan negara, meskipun kerajaan berubah.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.